
Fattah Amin Nafi Dakwaan Akan Bertunang
Pelakon Fattah Amin menafikan dakwaan yang mengatakan dia bakal bertunang dalam masa terdekat ini.
Menurut selebriti berusia 27 tahun itu, dia sendiri tidak tahu dari mana cerita itu boleh timbul.
“Selagi tak keluar dari mulut saya mengenai benda (pertunangan) itu, memang tidak adalah (tidak benar),” tegasnya.
Fattah berkata demikian ketika ditemui pihak media pada majlis pelantikannya sebagai duta produk tilam King Koil edisi Prince Collection di ibu negara, hari ini.

Sementara itu, walaupun kualiti vokalnya teruk dikritik oleh sesetengah orang, namun rezekinya semakin mencurah-curah apabila setakat ini sudah ada komposer dari luar negara yang mahu memberikan lagu mereka kepada Fattah.
“Setakat ini saya ada dapat tawaran merakamkan lagu dari komposer Indonesia dan Korea Selatan serta perancangan nak berduet dengan artis Korea, tetapi ini semua masih lagi dalam perancangan.
“Selain itu, saya juga dalam perancangan nak menembusi pasaran Indonesia dan untuk masuk ke sana, pihak pengurusan merasakan saya perlu berkolaborasi dengan artis sana terlebih dahulu. InsyaAllah semuanya masih dalam perancangan,” katanya yang baharu sahaja melancarkan single kedua berjudul 1234U.
1234U merupakan lagu ciptaan Aizat Amdan, Anas Amdan dan Mel Ramlan. Mereka juga merupakan pencipta lagu Wanita Terakhir yang mana vokal Fattah teruk dikritik sesetengah netizen di luar sana.
Menurut Fattah, sepanjang bergelar anak seni, sudah banyak dugaan dan kecaman yang dilaluinya namun dia hanya mengambil pendekatan bersabar dengan apa sahaja kata-kata buruk orang terhadap dirinya.
“Lagi anda bersabar, lagi orang suka bercakap pasal anda dan rezeki anda murah. Saya dah dididik sejak dari kecil untuk menjadi seorang yang penyabar. Sabar dengan apa orang cakap dan alhamdulillah resipi itu saya gunakan dan saya sentiasa ingat pesanan mak ayah saya sampai sekarang.
“Selagi orang tak berkata buruk yang boleh memberikan kesan kepada kerjaya seni saya dan memburukkan keluarga saya, itu dah cukup bagi saya,” ujarnya. – KopiPlanet.com