
Fattah Amin Puas Dapat Lakon Babak Aksi Dalam KL Special Force
Pelakon Fattah Amin mengakui sangat berpuas hati dengan mutu lakonan yang dipamerkan menerusi filem pertamanya iaitu KL Special Force.
Menurut Fattah, 80 peratus babak aksi lasak dilakonkannya sendiri bagi mencabar dirinya dalam membawakan watak yang lari daripada kebiasaan yang pernah dijayakannya.
“Saya berpuas hati dan untuk filem ini 80 peratus babak aksi saya buat sendiri. Alhamdulillah, saya tidak mengalami sebarang kecederaan yang teruk.
“Cuma ada sedikit lebam-lebam sahaja, tetapi itu perkara normal ketika melakukan scene lasak dalam sesebuah lakonan,” katanya ketika ditemui KopiPlanet.com pada Malam Gala KL Special Force yang diadakan di MM2 Cineplexes, E-Curve Damansara semalam.
Menjayakan watak seorang pegawai polis bernama Zul, pelakon berusia 27 tahun itu berkata, dia ada bertemu dengan kenalannya yang merupakan seorang anggota polis bagi mendapatkan gambaran lebih jelas tentang pekerjaannya dalam Unit Khas selain banyak membuat rujukan dengan menonton filem-filem bercorak kepolisan Hong Kong.
“Saya ada jumpa kenalan saya yang kini berkhidmat di Unit Khas bagi mendapatkan informasi mengenai realiti kehidupan mereka.
“Selain itu, saya juga banyak dapat input daripada ayah sendiri yang merupakan seorang anggota polis. Jangan tak tahu, dulu kecil-kecil cita-cita saya nak jadi polis, sebab hari-hari tengok ayah pakai uniform dan pegang senjata. Tak dapat jadi polis, berlakon jadi polis pun okey,” ujarnya.
Menurutnya lagi, dia juga banyak menonton filem-filem bercorak kepolisan Hong Kong bagi memantapkan lagi mutu lakonan agar tampak lebih berkesan dan berkeyakinan dalam membawakan karakter Zul itu sendiri.
KL Special Force yang diarahkan Syafiq Yusof bakal ditayangkan di 139 pawagam di seluruh negara bermula pada 8 Mac ini.
Selain Fattah, filem terbitan Skop Productions, Damofa Productions dan Viper Studios itu turut menampilkan lakonan hebat Datuk Rosyam Nor dan Syamsul Yusof.
Sementara itu, Fattah melahirkan keterujaannya apabila dapat berlakon di samping idolanya, Datuk Rosyam Nor yang disifatkannya sebagai seorang yang sangat merendah diri walaupun sudah lama berada dalam industri.
“Datuk Rosyam adalah idola saya. Bukan senang nak maintain macam beliau. Tak semua hero boleh jadi macam beliau yang masih lagi bertahan sehingga sekarang, malah mampu melakonkan babak aksi lasak dengan sangat cemerlang.
“Beliau langsung tak pandang rendah pada bakat-bakat baharu seperti saya dan perkara itu yang membuatkan saya seronok bekerja dengannya dan juga bersama seluruh tenaga kerja KL Special Force,” katanya. – KopiPlanet.com
Kredit foto: Instagram Fattah Amin