
Fauzi Nawawi Nak Menantu Pandai Baca Al-Quran, Ada Gaji Tetap
Pelakon Fauzi Nawawi mengakui nama anak perempuannya, Hanna Faresha, 19, kini semakin dikenali dan tular semenjak gambar anaknya itu dimuat naik isteri, Lisdawati di laman Instagramnya baru-baru ini.
Fauzi turut tidak menafikan anaknya itu mendapat banyak ‘pinangan’ daripada jejaka-jejaka yang jatuh hati dengan kecantikan nak gadisnya itu.
Namun, Fauzi ada syarat-syaratnya yang tersendiri bagi mencari menantu idaman yang dapat membimbing anak gadisnya itu.
“Nama anak saya jadi viral bila Lisda muat naik gambarnya di Instagram baru-baru ini. Dia jadi perhatian sebab anak kepada pasangan artis. Walaupun bukan anak kandung Lisda, tapi dia tetap melayan anak tiri macam anaknya sendiri.
“Saya akui anak saya cantik dan dia pun memang merupakan seorang Instafamous. Jodoh dia saya tak pernah halang tapi saya tidak rasa dalam waktu terdekat sebab dia masih belajar lagi.
“Kalau boleh saya nak bakal menantu yang tahu perihal agama, tahu baca Al-Quran serta mempunyai pendapatan tetap,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Fauzi ditemui pada malam kemuncak Anugerah Skrin 2018 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.
Aktor itu berjaya menggengam trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama bagi naskhah Qalbu yang dilakonkannya.
Sementara itu, ditanya tentang perasaannya tentang populariti Hanna, Fauzi tidak menafikan dia gembira dengan perkara itu.
“Saya okay sahaja dia popular sebab bila pergi mana-mana dia diberi kelebihan macam artis. Contohnya, ketika buat pasport dia tidak perlu tunggu lama tapi saya tengok dia tiada minat untuk menjadi pelakon seperti saya dan juga Lisda,” katanya lagi.
Hanna merupakan anak Fauzi menerusi perkahwinan pertamanya. Fauzi mempunyai lapan cahaya mata termasuk empat anak dengan Lisdawati. – KopiPlanet.com