Cerita ArtisHiburan

Fendy Caliph Buskers Buntu Duit Simpanan Semakin Menyusut, Terpaksa Jual Dua Set Dram

Salah seorang anggota kumpulan Caliph Buskers, Fendy akui buntu dengan nasib hidupnya dengan duit simpanan yang semakin menyusut berikutan sudah lebih setahun tidak dapat membuat persembahan.

Apa yang paling dirisaukan pemain dram berkenaan adalah  membabitkan sewa rumah yang tinggi perlu dilunaskan setiap bulan sehinggalah dia tergerak hati memuat naik video memohon perhatian pihak kerajaan untuk memudahkan dirinya mendapat kelulusan rumah mampu milik atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) di  akaun media sosial Jumaat lalu.

Malah, tindakan bapa tunggal yang juga golongan Orang Kurang Upaya (OKU) kepada Nurazalea Zafirah, 6, itu akhirnya menarik perhatian beberapa pihak kementerian termasuk Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

“Saya memuat naik video berkenaan kerana berharap pihak kerajaan dan kementerian tertentu boleh memudahkan urusan saya meluluskan permohonan rumah sama ada secara menyewa atau sewa beli

“Tidak sangka pula Datuk Seri Rina Harun, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Timbalan Menteri Belia dan Sukan) serta wakil dari Tan Sri Annuar Musa (Menteri Wilayah Persekutuan) sudi menjenguk saya di kediaman.

“Mereka ada datang dan memberi sumbangan makanan serta wang ringgit serta turut memberi jaminan untuk memudahkan permohonan saya mendapatkan rumah. Ikutkan saya pernah memohon untuk mendapatkan rumah sekitar tahun 2017. Namun ia berlalu sepi begitu saja,” kata Fendy ketika ditemui di rumahnya.

Fendy berkata, buat masa ini dia masih cukup dari makananan dan saban hari rezeki makanan tetap datang tanpa diduga.

Ujarnya, dia belum tergerak untuk mengibarkan bendera putih kerana masih berdaya dan apa yang dibimbanginya ialah soal rumah. 

“Ketika ini duit simpanan yang ada pun semakin terhakis. Sejak pandemik menjelma, memang bab undangan persembahan terputus. Kali terakhir buat show dengan Caliph Buskers pada November 2019

“Bulan Disember 2019, pandemik sudah menyerang dunia. Sekitar bulan Februari 2020, sempat jugalah rasa buat ‘show’ masa pandemik.

“Ikut kiraan duit simpanan, saya boleh bayar duit sewa rumah yang didiami di Sentul ini untuk bulan depan saja. Selepas itu saya tak tahu bagaimana nak bayangkan apa akan terjadi,” katanya.

Jelasnya lagi, buat masa sekarang dia masih lagi menyewa sebuah apartmen di Sentul dengan sewa bulanan RM1300.

Ujarnya, bekas isterinya turut menyewa di lokasi dan blok sama namun di tingkat berbeza. Mereka masing masing bergilir menjaga anak.

“Sebelum ini saya menyewa dengan kawan di Bangsar, manakala bekas isteri pula di Brickfields. Anak kami pula ketika itu harus berulang alik ke sekolah pendidikan golongan istimewa GENIUS Kurnia di Sentul. 

“Selepas mempertimbangkan banyak perkara termasuk kos harian, saya dan bekas isteri sepakat berpindah ke Sentul. Ini semua bagi memudahkan urusan persekolahan anak terutama lokasi lebih dekat.

“Namun saban hari, saya mula memikirkan banyak pertimbangan kalau terus menyewa di Sentul. Itulah sebab saya berharap dapat diperkenankan permohonan rumah PPR atau mampu milik,” katanya.

Demi meneruskan survival hidupnya juga, Fendy turut menjual dua set dram selain perkakasan alat muzik berkenaan.

“Hasil jualan dua set dram itu saya berjaya dapat dalam RM3,000 lebih. Adalah serba sedikit pulangan.

“Macam saya cakap bab makan itu tak ada masalah. Saya pun makan serba sederhana. Mee segera pun saya boleh layan berhari hari. Cuma kalau giliran anak ada di rumah, dia nak makan itu ini. Terutama makanan kegemarannya, roti canai. Jadi terpaksa ‘order’ menerusi aplikasi penghantaran makanan.

“Saya pun enggan berpeluk tubuh dan meminta minta. Jadi saya manfaatkan bakat muzik yang ada. Kalau celik mata, saya boleh buat pelbagai kerja demi meneruskan kelangsungan di era pandemik ini. Tapi apakan daya, saya OKU,” katanya.

Sejak empat minggu lalu juga dia mula mengambil inisiatif buat persembahan langsung di Facebook menerusi halaman Fendy Caliph Buskers setiap Sabtu 9.00 malam.

“Saya sertakan juga nombor akaun bank untuk mereka yang mahu menyumbang ketika menonton persembahan saya. Masa awal buat adalah serba sedikit rezeki boleh diraih.

“Tapi sejak deman bola EURO 2021 mula datang, ‘slow’ sikit sambutan sebab ramai tengok perlawanan bola sepak,” katanya.

Sementara itu, Rina Harun juga berharap DBKL dapat mempermudahkan proses permohonan rumah yang diidamkan Fendy.

Ketika berkunjung ke rumah pemain dram berkenaan pagi tadi, beliau turut menyerahkan bantuan Bakul Makanan, pek Ready to Eat selain menyerahkan sumbangan tunai oleh Yayasan Kebajikan Negara dan  Tabung Bantuan Segera (TBS) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat

“Insya-Allah saya harap urusannya untuk mendapatkan rumah PPR atau mampu milik dapat disegerakan pihak DBKL

“Malah saya juga ada menghubungi  Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah untuk membantu Fendy dalam mendapatkan dana membuat Hiburan Dari Rumah.

“Malah Fendy turut menerima elaun RM500 untuk tiga bulan. Elaun itu di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diberikan kepada golongan OKU yang telah kehilangan pekerjaaan, ketiadaan kerja, dibayar separuh gaji atau diarahkan bercuti tanpa dibayar gaji,” katanya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button