![](https://www.kopiplanet.com/wp-content/uploads/2018/02/Ferhad.jpeg)
Ferhad Tak Merajuk, Kini Keluar Dengan Single Definasi Cinta
Penyanyi yang cukup popular dengan lagu Kasih Berubah dan Pernah, Ferhad kini telah tampil dengan single terbaharuya berjudul Definasi Cinta.
Menurut Ferhad, dia kini cuba mengikut perubahan arus semasa, yang mana single terbaharunya itu akan lebih banyak dipromosikan menerusi media sosial yang diakui keberkesanannya pada masa kini.
“Untuk Definasi Cinta ini, saya akan promosikan secara berterusan di media sosial. Zaman sekarang kita kena akui perkembangan media sosial yang mana lebih dekat dengan peminat-peminat.
“Sebagai orang lama dalam industri, memang saya kena ikut dengan segala strategi pemasaran yang betul kerana sekarang orang sudah tidak beli album lagi. Sebaliknya mereka lebih suka muat turun di Internet, sebab itu saya keluarkan dengan single dahulu,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran single Definasi Cinta di Neo Damansara, semalam.
Sementara itu, Ferhad menafikan khabar angin mendakwa dia merajuk dengan industri selepas tersingkir pada minggu kedua program Gegar Vaganza 4 (GV4) yang bersiaran akhir tahun lalu.
“Saya tak merajuk, saya masih dalam industri. Penyertaan saya menerusi GV4 juga merupakan satu platform yang bagus untuk orang tahu yang saya sebenarnya masih aktif dalam industri.
“Walaupun saya jarang muncul di khalayak ramai, tetapi saya sebenarnya banyak dapat undangan menjayakan majlis-majlis tertutup. Itu yang orang ingat saya menyepikan diri,” katanya lagi.
Untuk single terbaharu ini, Ferhad masih lagi mengekalkan genre soulful balada yang memang sinonim dengan dirinya sejak dahulu lagi.
Yang menariknya, single tersebut dihasilkan sepenuhnya oleh seorang doktor gigi, Dr. Irma yang juga merupakan kenalan Ferhad.
Menurut Dr Irma, menerusi Definasi Cinta, dia cuba membawakan melodi lagu yang tidak lari daripada trademark muzik yang dibawakan oleh Ferhad.
“Lagu ini memang saya buat ikut genre lagu yang dibawakan Ferhad sebelum ini. Definasi Cinta memang tidak lari jauh dari imej nyanyian penyanyi yang cukup popular dengan lagu-lagu berunsur soulful ini. Senang cerita memang saya buat lagu ini untuk Ferhad.
“Ia berkisarkan tentang maksud dan emosi cinta itu sendiri. Cinta pada yang Esa, cinta pada suami dan isteri, cinta pada kekasih mahupun ibu bapa. Bertepatan dengan pelancaran single ini, kami turut mengeluarkan sekali muzik video Definasi Cinta yang menjalani penggambaran di Melaka baru-baru ini,” katanya.
Definasi Cinta merupakan terbitan Dr Irma Entertainment dan Warner Music Malaysia. Single ini boleh dimuat turun sepenuhnya menerusi platform digital Spotify, Apple Music, JOOX, Yonder Music, KKBOX dan juga di iTunes bermula hari ini. – KopiPlanet.com