Cerita ArtisHiburan

Fieya Julia Akui Dapat Ilham Cipta Lagu Halusinasi Daripada Mimpi

Rasa teruja dan takut menguasai diri Fieya Julia apabila mendapat tahu, syarikat rakaman Aries Music mengambil keputusan menjadikan lagu ciptaannya iaitu Halusinasi sebagai single baharunya.

Fieya atau nama sebenarnya, Nur Syafiyah Sejali mengakui keputusan yang dibuat oleh syarikat rakaman itu di luar dugaan kerana sebelum itu dia sering hantar ciptaannya tapi tidak terpilih.

“Sebenarnya saya tak sangka lagu Halusinasi menjadi pilihan syarikat sebab sebelum ini saya pernah bagi lagu yang dihasilkan tapi semuanya kena reject dan tak terpilih. Mungkin material tak cukup bagus. Namun, saya tak sangka lagu Halusinasi ini menjadi pilihan syarikat. Rasa excited dan takut juga sebab sebelum ini saya selalu nyanyi lagu ciptaan komposer profesional.

“Saya ni masih baharu dan tak pernah keluarkan single ciptaan sepenuhnya daripada saya sendiri. Agak takut, manalah tahu pendengar tak boleh terima lirik tulisan saya sebab masih belajar. Semua ini saya buat ikut idea sendiri, ada rasa takut dan teruja. Rasa bersyukur pun ada juga,” kongsinya.

Menariknya, sejak dimuat naik di saluran YouTube Aries Music sejak 27 Ogos lalu dan hingga kini telah mencecah tontonan sehingga 118,738 pada 27 September lalu.

Sebelum ini, nama Fieya melonjak naik menerusi lagu Perasaanku, ciptaan Amir Hariz yang diterbitkan pada 2018 dan mendapat 45 juta tontonan di YouTube, malah lagu tersebut juga diangkat sebagai lagu tema drama Semua Salahku.

Menurut Fieya, lagu Halusinasi yang dihasilkan pada Ogos 2020 adalah berdasarkan kisah benar tentang perasaannya ketika itu, manakala lirik pula disiapkan dalam tempoh sehari dan dalam jangka seminggu, siap lirik dan melodi Halusinasi.

“Masa cipta lagu tu saya tengah alami situasi tu, sedang layan sendu. Inspirasi dapat melodi lagu ini dari mimpi. Agak pelik tapi memang saya dapat melodi lagu ini dari mimpi. Fieya bangun dari tidur dan terus rekod melodi yang dapat dari mimpi dan ubah-ubah sikit dan jadilah melodi Halusinasi.

“Sebenarnya, lagu ini Fieya ceritakan tentang diri sendiri juga. Waktu muda ni, kita sering salah anggap cara orang layan kita. Dalam hati mesti tertanya, dia ni layan lebih, suka kat aku ke atau sebaliknya? Lagu ini sebenarnya kisah kita terjatuh cinta dengan kawan sendiri, pada hal kita tahu dia adalah kawan kita sendiri. Dan kita pula terletak harapan lebih kepada kawan tersebut.

“Halusinasi mengisahkan tentang Fieya berkawan dengan seorang lelaki ini yang selalu ada untuk Fieya tapi dia selalu juga menghilang. Dia akan ada masa Fieya sedih dan hilang masa Fieya dah gembira. Lelaki itu hanya akan berada di sisi Fieya tatkala Fieya memerlukan dia,” jelasnya tentang lagu berkenaan.

Berdasarkan pengalamannya itu, Fieya nasihatkan orang lain supaya jangan cepat berharap pada orang yang berbuat baik dengan kita kerana kadang-kadang bukan sebab mereka jatuh cinta dengan kita tapi sebab dia hargai kita sebagai kawan.

Sementara itu, Fieya menyatakan bahawa Halusinasi merupakan single keempatnya yang bergenre balada dan dia mahu peminat mengenalinya dengan lagu genre sedemikian.

“Saya belum puas lagi kerana tak ramai lagi yang mengenali Fieya Julia sebagai penyanyi lagu balada. Sekarang ini ramai yang ingat Fieya penyanyi lagu rock sebab Fieya banyak buat cover song genre begitu.

“Orang lebih mengenali Fieya daripada cover song. Ada juga yang tahu lagu Fieya tapi tak tahu penyanyi. Belum puas hati dalam indsutri ini, Fieya nak orang kenali Fieya sebagai penyanyi balada. Bila rasa puas hati baru cuba genre lain.

“Mungkin ramai yang bosan sebab Fieya asyik balada tapi setakat ini ilham Fieya memang ke arah balada saja. Belum dapat ilham untuk buat lagu catchy, insya-Allah Fieya akan cuba buat genre lain,” katanya.

Seiring dengan penerbitan Halusinasi, Fieya memberitahu, muzik video lagu tersebut akan menjalani penggambaran Oktober ini sebab dia belum lengkap vaksin.

“Fieya dah ada storyline sendiri untuk video muzik itu tapi takut storyline Fieya tak memuaskan hati pengarah. Jadi Fieya akan bincang sekali dengan syarikat.

“Kalau ikut perancangan Fieya, nak ada seorang model lelaki dalam video muzik Halusinasi ini. Modelnya kawan Fieya sendiri dan kawan tu pun belum second dose. Belum confirm model lagi tapi Fieya nak model lelaki untuk ikut lirik lagu tersebut,” jelasnya.

Selain menyanyi, Fieya juga berharap mampu meletak diri sebagai komposer. Sebagai permulaan Halusinasi menjadi platform untuknya menerokai bidang penciptaan dan penulisan lagu.

“Dalam simpanan Fieya ada beberapa buah lagu yang kebanyakannya berentak balada. Setakat ini saya selesa dengan genre itu.

“Bila sampai masa Fieya akan cuba rentak lain pula. Setakat ini saya belum berani untuk memberi karya kepada penyanyi lain, kalau ada pun setakat Yazid Izham saja sebab kami pernah buat lagu sama-sama,” katanya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button