
Susulan filem terbitannya, Ada Apa Dengan Dosa (AADD) dijual secara haram dalam sebuah platform dalam talian atau e-dagang dengan harga RM1, penerbit dan pemilik rumah produksi Pencil Pictures, Datuk Normashayu Puteh berkata pihaknya sudah mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara tersebut.
Menurut Normashayu atau lebih dikenali sebagai Ayu Puteh, pihaknya sudah memfailkan saman sebanyak RM50 juta terhadap platform e-dagang terbabit.
“Selepas mengumumkan mahu menyaman pihak yang bertanggungjawab dalam kes ini sekitar awal Ogos lalu, saya dapati filem AADD sudah pun dipadam daripada platform itu setengah jam kemudiannya.
“Bagaimanapun, saman akan tetap diteruskan sebab hak cipta kami sebagai pengkarya tidak boleh sewenang-wenangnya dicetak rompak dan bagi mengekang perkara seperti ini daripada berulang kembali,” katanya.
Dia berkata demikian kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis tayangan filem AADD di E-Curve, Mutiara Damansara, semalam.
Ujarnya, biarpun platform itu sudah memadam filem AADD di laman jualan mereka namun Ayu berkata dia tetap dengan keputusannya untuk menyaman pihak berkenaan kerana enggan jenayah cetak rompak semakin berleluasa.
Filem AADD yang bergenre Islamik itu akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 10 September ini. AADD yang diarahkan Rahila Ali dibintangi Wanna Ali, Pu Riz, Ashraf Muslim, Fasha Sandha dan Adam Corrie.
> Baca: Daus Eli Akui Pernah Rasa Depresi Selepas Alami Penceraian
Sementara itu, Ayu juga berkata dia tidak menolak kemungkinan perbuatan cetak rompak dan menjual hasil intelek milik syarikatnya itu didalangi oleh orang dalam.
“Saya dapati filem yang ditayangkan di platform tersebut ada dua versi, yang mana satu ada logo Astro First dan satu lagi tiada logo dan berdurasi penuh.
“Jika perkara ini ada melibatkan orang dalam, saya tidak tahu. Apa-apa pun, saya menyerahkan kes ini kepada pihak berkuasa untuk lakukan penyiasatan lanjut.
“Saya harap perkara ini dapat beri pengajaran kepada sesiapa agar jangan sesekali mencuri dan merompak hasil karya intelek orang lain yang sudah bertungkus lumus menyiapkannya,” ujarnya lagi.
AADD terlebih dahulu telah ditayangkan di saluran berbayar Astro First pada 4 Jun lalu. – KopiPlanet.com