
Filem Paling Banyak Ditonton Di Netflix, Bird Box Bakal Ada Sequel!
Tidak disangkal lagi kehebatan filem Bird Box apabila ia menjadi filem blokbuster di Neflix apabila ditonton lebih 50 juta penonton dalam hanya masa seminggu filem itu ditayangkan di aplikasi tontonan berbayar itu pada Disember lalu.
Filem itu diadaptasikan menerusi novel tulisan Josh Malerman yang diterbitkan pada 2014. Penulis itu baru-baru ini juga sudah menyatakan filem itu bakal ada sequel kerana dia kini sedang menulis novel susulan untuk naskhah tersebut.
Novel yang diberi nama Malorie itu akan memfokuskan lapan tahun selepas kejadian tersebut dan akan lebih memberi penekanan kepada kehidupan setiap karakter dalam novel itu.
Josh berkata dia bersemangat untuk menulis buku terbaharu selepas terharu dengan sambutan hangat yang diberikan terhadap Bird Box versi filem.
“Saya selalu ditanya apa jadi pada Boy dan Girl (watak dalam filem Bird Box), jadi saya teruja untuk lagi menulis mengenai mereka,” katanya ketika ditemubual sebuah majalah baru-baru ini.
Josh akan kembali semula ke lokasi penulisannya di sebuah banglo lama di Detroit, Amerika Syarikat bagi mendapatkan mood yang sama ketika dia menulis Bird Box suatu ketika dulu.
Bird Box yang diarahkan Susanne Bier berkisarkan tentang seorang wanita bersama dua anaknya menelusuri hutan dan sungai dalam keadaan mata tertutup untuk melindungi mereka daripada menjadi mangsa satu ‘virus’ yang tidak diketahui asal-usulnya.
Filem ini dijayakan pelakon Sandra Bullock dan Sarah Paulson. – KopiPlanet.com