Rancangan TVTV

Filem Pendek Kampong Pisang Kita Setandan Tampilkan Elemen Semangat Perpaduan & Meraikan Kepelbagaian Kaum

Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia, Astro mempersembahkan sebuah filem pendek arahan Pengarah tersohor Mamat Khalid bertajuk ‘Kampong Pisang Kita Setandan’. Filem pendek ini bertemakan semangat perpaduan yang wujud dalam sebuah kampung yang sangat terkenal di hati dan ingatan penonton iaitu Kampong Pisang.

Diarahkan serta skripnya dihasilkan oleh Mamat Khalid, seperti biasa ia masih lagi menampilkan watak-watak seperti Barkoba, Pak Jabit, Pak Din, Pak Karim, Cik Purnama, Ahmad Yassin, Faguha Jabar dan penduduk Kampong Pisang pasti akan dikejutkan dengan berita gempar atau masalah yang perlu diselesaikan.

Mamat Khalid berkata, Kampong Pisang Kita Setandan ini dihasilkan bagi menyemai semangat bersatu padu dalam diri seluruh rakyat Malaysia.

“Pengisian filem pendek ini bukan hanya tentang menyatukan semua bangsa dan meraikan kepelbagaian kaum di negara tercinta, malah adat serta budaya turut diangkat agar ia sentiasa didedahkan kepada generasi muda.

“Saya harap, filem pendek ini bukan sahaja menghiburkan penonton dengan telatah penduduk Kampong Pisang, tetapi naskhah ini serasi dengan jiwa semua generasi dan sekali gus mampu membina jiwa bangsa dan semangat bersatu hati,” ujarnya.

Pada kali ini isu tercetus apabila Teck Zee anak kepada Ng Chee Lam ingin berkahwin dengan kekasihnya, Bulan. Namun kedua orang tua Teck Zee tidak bersetuju dengan perkahwinan anaknya.

Ia membuatkan geng Kampong Pisang yang diketuai oleh Pak Din Pest Control mencari kepastian demi memastikan keharmonian penduduk kampung itu.

Antara barisan pelakon yang membintangi filem pendek ini adalah Kazar Saisi, Bell Ngasri, Aziz M Osman, Dewa Sapri, Mat London, Ahmad Yasin, Rashid Othman dan kemunculan istimewa Wong Wei Tian dan Bulan Terry.

Sementara itu, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, bersempena Hari Malaysia, Astro mempersembahkan sebuah filem pendek istimewa yang mengetengahkan konsep perpaduan kaum menerusi karya popular Kampong Pisang.

“Apa yang menariknya penonton dapat melihat jenama Kampong Pisang membawa mesej berbeza iaitu nilai patriotisme pula. Terima kasih kepada Pengarah Mamat Khalid kerana sentiasa kreatif dalam menampilkan konten terbaik dan padat dengan mesej.

“Kami berharap, Kampong Pisang Kita Setandan dapat menjadi inspirasi serta memupuk semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat tempatan, selain meraikan Hari Malaysia dengan lebih bererti,” ujarnya.

Penonton boleh menyaksikan filem pendek berdurasi setengah jam ini di Astro 25 (saluran 100) pada 16 September ini atau penonton juga boleh strim platform On Demand dan Astro GO. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button