Gegar Vaganza 9 Tampilkan 13 Peserta… Shila Amzah, Jaclyn Victor & Tomok Antara Peserta Tumpuan
Rancangan popular ‘Gegar Vaganza’ (GV) kini kembali dengan menampilkan barisan artis yang gah, relevan dan pastinya bakal mengubat rindu peminat-peminat industri muzik tempatan.
Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, barisan peserta kali ini adalah penyanyi yang amat menakjubkan serta berbakat besar.
“Kombinasi kali ini turut menerapkan elemen diversiti ataupun kepelbagaian dalam representasi genre muzik negara kita. Pop, Rock serta R&B antara genre penyanyi yang ada. Ada jua sesetengah mereka begitu versatil dan mampu menyanyi dalam pelbagai genre serta bahasa.
“Kami turut mempunyai penyanyi-penyanyi hebat di negara kita yang sudah merangkul pelbagai anugerah.
“Ternyata ‘GV9’ mampu menarik penyertaan bintang-bintang besar yang bersinar hebat, lantas menujukkan betapa relevannya rancangan ini bukan sahaja untuk para peminat tetapi artis- artis yang ada. ‘GV’ masih jua menjadi platform untuk barisan penyanyi mengukir nama mereka semula dalam bidang nyanyian,” ujarnya.
Peserta-peserta ‘GV9’ menampilkan 12 peserta solo serta satu berkumpulan terdiri daripada Shila Amzah, Jaclyn Victor, Dina Nadzir, Tomok, Asheed, Bob Yusof, Fuad Rahman, Hazrul Nizam, Roy Kapilla, Haida Hasnan, Pat Candy, Tom serta VE yang terdiri daripada Zaf, Cham, Adeeb dan Hakim.
‘Gegar Vaganza’ musim ke-9 akan berlangsung selama sepuluh (10) minggu dan bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam mulai 18 September, setiap Ahad, jam 9.00 malam, ditayangkan eksklusif di Astro Ria (saluran 104) dan untuk pilihan lebih fleksibel, ia boleh distrim melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO. – KopiPlanet.com