
Gigi Hadid Mohon Maaf Jadi ‘Gelap’ Untuk Majalah Vogue
Model terkenal, Gigi Hadid tampil membuat permohonan maaf kepada peminatnya selepas muka hadapan edisi terbaharu majalah Vogue Itali memaparkannya dalam keadaan berkulit gelap.
Kebanyakan yang sudah melihat majalah itu berkata, wajah Gigi langsung tidak kelihatan sepertinya dan mereka mengecam teknik photoshop keterlaluan yang digunakan oleh pihak editorial majalah fesyen tersebut.
Menerusi gambar itu, Gigi digambarkan lebih gelap daripada tona kulitnya selain langsung tidak kelihatan seperti dirinya jika dipandang sekilas pada majalah itu.
Gigi, 23, yang kecewa dengan perkara itu berkata, dia berharap selepas ini pihak yang terlibat dalam pembikinan kreatif sesebuah majalah agar mengambil berat hal itu supaya tidak terlalu menonjolkan ‘kepalsuan’ dalam kerja mereka.
“Saya ingin ambil kesempatan ini memohon maaf kepada semua berhubung isu ini. Saya memang tidak mempunyai kuasa di atas semua kerja pembikinan muka hadapan majalah ini.
“Saya harap perkara ini tidak berlaku lagi di masa hadapan dan dapat memberi pengajaran kepada mana-mana pihak selepas ini,” katanya.
Bekas kekasih Zayn Malik ini juga meminta industri fesyen agar lebih memvariasikan wajah-wajah model bagi meraikan setiap kaum dan etnik di seluruh dunia daripada ‘mengubah’ rupa paras seseorang model itu. – KopiPlanet.com