
Seperti dijangka, lagu Jampi nyanyian Hael Husaini telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu Ke-32 (AJL 32) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi.
Lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong itu berjaya menewaskan 11 buah lagu lain yang turut bertanding, sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 berserta trofi dan baucar CJ Wow Shop bernilai RM10,000.
Tempat kedua pula telah dimenangi lagu Sejati yang dihasilkan oleh Faizal Tahir dan Mike Chan nyanyian Azmi Caliph Buskers , manakala tempat ke-3 pula diraih oleh Haqiem Rusli yang membawakan lagu Tergantung Sepi hasil ciptaan Gouffran dan Ibnu.
Pemenang bagi naib juara pula membawa pulang hadiah wang tunai RM35,000 berserta trofi dan baucar CJ Wow Shop bernilai RM2,000, dan tempat ketiga pula meraih hadiah wang tunai RM20,000 berserta trofi dan baucar CJ Wow Shop bernilai RM2,000.
Sementara itu, penyanyi yang membawakan lagu Aku Cinta iaitu Syamel dan Ernie Zakri pula telah dinobatkan sebagai Vokal Terbaik dan penyanyi Altimet turut pulang dengan tangan kosong apabila terpilih bagi kategori Persembahan Terbaik.
Untuk kategori Vokal Terbaik memenangi hadiah wang tunai RM12,000 berserta trofi dan baucar CJ Wow Shop bernilai RM2,000, manakala Persembahan Terbaik turut membawa pulang wang tunai RM12,000 berserta trofi, baucar CJ Wow Shop bernilai RM2,000 dan telefon Samsung A8.
Lain-lain lagu yang turut bertanding pada AJL 32 seperti Lebih Sempurna (Syamel), Aku Yang Sebenar (Hazama & The Penglipurlara), Menahan Rindu (Wany Hasrita), Akhirnya Cinta (Salma), Separuh Matiku Bercinta (Dayang Nurfaizah), Aku Cinta (Syamel & Ernie Zakri), Amboi (Altimet), Warkah Untukku (Ara Johari) dan Bayang (Khai Bahar). – KopiPlanet.com
KEPUTUSAN PEMENANG AJL 32
Juara – Jampi (Hael Husaini)
Naib Juara – Sejati (Azmi Caliph Buskers)
Tempat Ke-3 – Tergantung Sepi (Haqiem Rusli)
Vokal Terbaik – Syamel & Ernie Zakri (Aku Cinta)
Persembahan Terbaik – Amboi (Altimet)