“Bukan Papar Anak Ikan, Sebaliknya Konsep 11 Beradik” – Hael Husaini
Muzik video single raya Bersyukur Seadanya nyanyian Hael Husaini menjadi kontroversi baru-baru ini gara-gara netizen mendakwa ia memaparkan tema anak ikan.
Menurut Hael atau nama sebenar, Hal Husaini Razmi, 32, dia tidak mengambil pusing mengenai dakwaan itu sebaliknya hanya melihat perkara itu daripada sudut positif.
“Saya ambil positif perkara yang diperkatakan itu dan saya ucapkan terima kasih sebab anda semua kerana telah tolong promosikan muzik video itu. Saya sebenarnya tidak faham konsep anak ikan yang mereka katakan itu sebab muzik video itu lebih menceritakan tentang suasana 11 beradik dalam menyambut perayaan Aidilfitri.
“Disebabkan itulah ada beberapa muka penari yang iras macam saya. Adegan tidur bergelimpangan pula menceritakan suasana apabila kita balik beraya beramai-ramai memang normal tidur macam itu. Koregrafi pun kami buat ‘last minute’, tetapi saya gembira dengan penerimaan penonton terhadap muzik video tersebut,” katanya.
Sejak dimuat naik pada 24 Mei lalu, muzik video Bersyukur Seadanya sudah mencatat tontonan lebih daripada 920,000 kali. Anak ikan merupakan slanga yang digunakan bagi menceritakan situasi apabila seseorang lelaki itu menjadi simpanan kepada seseorang.
Sementara itu ketika ditanya mengenai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri, Hael berkata dia lebih mementingkan keperluan ibu bapa dan adik-beradiknya sebelum meletakkan keutamaan kepada dirinya.
“Untuk persiapan raya, saya akan lebihkan kepada keluarga dulu dan bila dah ‘settle’, baru saya fikir pasal saya. Saya kalau ulang pakai baju tahun-tahun sebelum ini pun saya tidak kisah.
“Lagipun raya tak semestinya kena ada baju baru, itu bagi pandangan saya. Yang penting, saya kena dahulukan keluarga dan jalankan tugas sebagai anak dengan menyenangkan ibu bapa dan keluarga,” katanya sambil memberitahu akan menyambut lebaran di kediaman keluarganya di Seri Menanti, Negeri Sembilan. – KopiPlanet.com