Cerita ArtisHiburan

Hampir Empat Tahun ‘Bertapa’, Ramayan Muncul Pertaruhkan Album Epik Fantasi Di Persiaran Cakrawala

Setelah hampir empat tahun bertapa, Ramayan akhirnya tampil bersama rilisan terbaru dengan album penuh yang bertajuk Di Persiaran Cakrawala.

Album berkenaan mengandungi 10 buah lagu dengan atmosfera dan mood yang bervariasi, di mana para pendengar dibawa ke sebuah pengembaraan emosi dan pengalaman ‘sonic’ yang berbeza dengan rilisan sebelum ini.

Album ini menampilkan lagu single Lamunan Anak Bulan yang telah dinobatkan sebagai pemenang TAPAU Awards dalam kategori Lagu Terbaik Disember 2020 lalu.

Mengambil masa dua tahun dalam produksi pembuatan, ia juga menampilkan pemuzik berkaliber dari Indonesia, Mondo Gascaro selaku produser bersama yang telah meluangkan masa selama sebulan di Malaysia untuk bekerja sama dalam proses rakaman album ini.

Album yang dirakamkan di studio Ronggeng, Luncai Emas ini menggunakan teknik rakaman ‘track-by-track’ dan kebanyakannya menggunakan barangan musik “vintage” untuk mendapatkan kualiti dan nuansa rakaman seperti zaman 70an.

Syafie M. Nasir selaku vokalis, pemain gitar dan keyboard berkata, mereka memilih Lamunan Anak Bulan sebagai single kerana percaya lagu berkenaan adalah mukaddimah yang terbaik untuk mendedahkan orang ramai kepada muzik mereka.

“Waktu kami lancarkan pula satu negara sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan orang ramai pula dalam keadaan murung.

“Disebabkan itu kami rasa bahawa lagu ini dapat menaikkan semangat pendengar yang sedang merenungi nasib masing-masing,” jelasnya.

Menurut Syafie, album berkenaan mengambil masa dua tahun dihasilkan kerana proses pengadunan bunyinya yang sering diulang-ulang dan diperbetulkan.

“Susah untuk kami sebagai band untuk berpuas hati dengan hasil kami. Adakalanya sudah puas hati, tapi apabila didengari semula selepas beberapa hari, diperbetulkan lagi.

“Kami inginkan supaya album ini menjadi sebuah album yang menyerlah dari segi nilai komersial dan juga nilai kritikal, oleh itu kami meluangkan masa dalam produksi lebih lama,” ujarnya.

Menurutnya, bunyian Di Persiaran Cakrawala terinspirasi dari muzik-muzik pada masa lalu terutamanya dari artis-artis seperti The Beatles, Todd Rundgren, ABBA, David Bowie,  dan artis legenda Nusantara seperti Sweet Charity, Kembara, dan Allahyarham Sudirman Haji Arsyad.

Ujarnya, kekuatan album itu adalah pada sebuah konsep yang lengkap ‘berpakej’, di mana musiknya adalah selari dengan visual yang dilihat pada desain kulit album serta fesyen yang diragakan mempengaruhi tema retro-futuristik.

*Album yang berharga RM35.00 ini diedarkan oleh Gudang Suara Records dan album ini boleh didapatkan di kedai-kedai atau secara online di:

  • Teenagehead Records, Subang Jaya
  • Formatfizikal.recordstore, Kuala Lumpur
  • Dreamprojectip, Ipoh, Perak
  • Embracerecordsanddistribution, Johor Bharu
  • Mlkmvmt, Melaka
  • Ruas.store, Pulau Pinang
  • Pekanmayarecords, Kuala Lumpur
  • Gedung Malaya, Petaling Jaya
  • Ramayan pocketbook : http://www.enigmaramayan.wixsite.com/ramayanmusik
Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button