Cerita ArtisHiburan

“Hazami Tahu Saya Hanya Bergurau” – Nabil Ahmad

Baru sahaja seminggu program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) bersiaran di Astro, ternyata sudah ada kisah kurang manis hangat bertebaran di media-media sosial.

Antaranya, kebanyakan netizen mengecam tindakan Nabil Ahmad memegang leher peserta lelaki, Hazami dalam rancangan siaran langsung rancangan itu pada Ahad lalu.

Menurut segelintir mereka, perlakuan Nabil itu boleh disifatkan keterlaluan sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penonton yang melihat program tersebut.

Bagi menjawab kecaman yang dilemparkan kepadanya, Nabil berkata, “Hazami tahu apa yang berlaku, ia merupakan lawak dan gurauan di antara saya, dia dan Tok Ram (Datuk Ramli MS). Dia pangkat abang saya dan dia faham saya bergurau dengan dia. Saya pun memang tiada niat apa-apa, kami dah biasa bergurau ketika masa rehearsel.

“Saya bukan baru kenal dia, kami sudah kenal sejak saya baru masuk industri dan Hazami antara artis pertama yang saya kenal, malah kami pernah buat show sama-sama dan dia tahu perangai saya macam mana. Bagi saya orang lain yang lebih-lebih, saya memang selalu bergurau macam itu dengan Hazami di belakang pentas. Saya tak tahu apa isunya, sunnah nabi kan boleh salam, peluk, cium pipi lelaki.

“Misalnya kalau saya pegang kemaluan dia, itu baru gangguan seksual, saya tanya awak leher itu kemaluan ke? Yang bercakap ini mereka tak tahu ke sunnah nabi kalau bersahabat lelaki, boleh sampai cium pipi, benda itu sunnah, tak tahu ke?

“Kalau setakat pegang leher, mereka kata saya buat gangguan seksual, mereka tak tahu hukum agama ke? Tak belajar ke atau saja nak cari pasal dengan saya, apa masalah mereka ni?” luahnya dengan nada kesal ketika dihubungi KopiPlanet.com.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kritikan Datuk Profesor Chef Wan terhadap cara pengacaraannya dan Jihan Muse yang dilihat agak berlebihan pada minggu lalu, Nabil menyatakan ia bukanlah satu isu yang besar buat dirinya.

“Apa Chef Wan nak cakap ke, apa orang nak cakap pasal saya ke, saya belajar daripada yang terbaik. Lagipun beliau merupakan salah seorang daripada rujukan saya (bab mengacara). Ini bukan pertama kali beliau beri komen menerusi Instagramnya, sebelum ini bukan program yang beliau hos pun, beliau akan komen juga.

“Saya tak kisah pun beliau nak cakap apa dan saya pun tak kisah orang di luar sana nak cakap pasal saya.  Lagipun saya memang tak pernah baca komen-komen dan kritikan terhadap saya. Senang cakap saya memang tak kisah,” katanya menutup perbualan.

Chef Wan diundang menjadi juri jemputan GV4 minggu lalu bersama-sama juri tetap iaitu Datuk Ramli MS dan penyanyi seberang, Hetty Koes Endang. – KopiPlanet.com

Kredit Foto:  Instagram Nabilzira

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button