
Hisyam Hamid Tidak Takut Dengan Persaingan Pelakon Baharu
Hampir 16 tahun menghambakan diri dalam bidang seni, pelakon Hisyam Hamid mengakui dia langsung tidak merasai takut dengan kemunculan ramai pelakon-pelakon baharu sejak kebelakangan ini.
Menurut aktor kelahiran Singapura itu, dengan adanya hero-hero baharu ini, ia dapat memberikan lebih pilihan buat penonton agar tidak dihidangkan dengan satu pelakon yang sama dalam tempoh masa yang panjang.
“Bagus sebenarnya ada pendatang baharu ini sebab dapat beri variasi kepada penonton. Ada hero baharu untuk mereka lihat di televisyen. Bagi saya sendiri, ia satu perkara positif kerana kita dapat bersaing secara sihat, sekali gus memperbaiki lagi mutu lakonan.
“Untuk saya apa yang lebih penting ialah untuk mengekalkan diri kita relevan dalam industri daripada mengejar populariti. Saya tidak kisah pun hanya dikenali sekejap ketika drama sedang ditayangkan sebab itu memang strategi saya untuk terus kekal relevan buat penonton,” katanya kepada KopiPlanet.com
Hisyam ditemui pada majlis pertunjukan fesyen raya Starvilion di Royal Palace, Shah Alam baru-baru ini. Hisyam mengeluarkan produk baju Melayu Johor dan kurta di bawah jenama Hisyam Hamid sempena sambutan Aidilfitri nanti.
Ujar Hisyam, idea untuk menghasilkan baju di bawah jenamanya merupakan impian yang sudah lama disimpannya dan hanya baharu tahun ini dapat dilaksanakan dengan pertolongan isterinya, Rosmawati Hanafi.
Koleksi daripada Hisyam itu dijual pada harga mampu milik serendah RM89 hingga RM199 dan boleh didapati menerusi butik Starvilion yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam.
“Saya memang nak jual baju dengan harga berpatutan agar semua golongan mampu beli koleksi yang saya perkenalkan ini. Saya memilih gaya baju Melayu Johor kerana saya pun memang berasal dari selatan yang memang sinonim dengan gaya sebegitu.
“Idea untuk keluarkan pakaian koleksi raya sebenarnya sudah mula diutarakan sejak tahun lalu lagi, tetapi tak sempat nak buat. Jadi, tahun ini saya dengan kerjasama isteri nekad keluarkan dan kami ambil masa juga untuk hasilkan rekaan kerana nak buat suatu benda itu betul-betul agar produk yang dihasilkan berkualiti tinggi,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan seninya Hisyam kini sedang menjalani penggambaran drama Rahsia Hati Perempuan untuk siaran Astro Ria sempena Ramadan ini. Drama itu dibintangi Mira Filzah, Uqasha Senrose dan Fikry Ibrahim. – KopiPlanet.com