Hubungan Jarak Jauh Punca Vanessa Hudgens Putus Cinta?
Hubungan cinta selama sembilan tahun yang terjalin di antara pasangan pelakon Vanessa Hudgens dan Austin Butler putus di tengah jalan masih lagi menjadi topik hangat di kalangan media hiburan antarabangsa.
Percintaan pasangan itu dikatakan berantakan selepas mereka dikatakan terlalu sibuk dengan komitmen kerja yang menuntut mereka berpisah buat seketika.
Vanessa baru-baru ini terpaksa terbang ke luar negara selama beberapa bulan bagi menyiapkan filem The Princess Switch 2 manakala Austin pula sedang sibuk mempersiapkan diri bagi menjayakan penggambaran filem biopik mengenai lagenda muzik Elvis Presley yang akan diadakan di Australia.
“Mereka masing-masing terpaksa berjauhan dan perpisahan itu ada kaitan dengan hubungan jarak jauh. Walaupun begitu, mereka berpisah secara baik dan sangat menghormati satu sama lain,” kata sumber memetik E! News.
Sebelum berpacaran dengan Austin, Vanessa pernah bercinta dengan hero gandingannya dalam filem High School Musical, Zac Efron pada 2005 namun hubungan mereka putus lima tahun kemudiannya. – KopiPlanet.com