
Hubungan Neelofa & PU Riz Kini Semakin Positif, Tolak Dakwaan Akan Percepatkan Perkahwinan
Pengacara, pelakon dan usahawan terkenal, Neelofa mengakui hubungan dengan PU Riz kini sudah menjadi semakin positif.
Jelasnya, apa yang berlaku sebelum ini lebih kepada banyaknya timbul salah faham dan cerita-cerita yang tidak berasas.
“Apa yang boleh saya katakan hubungan kami sekarang lebih baik dan lebih positif.
“Tipulah kalau dalam hubungan itu tidak ada naik dan turun, ada juga berlaku salah faham. Bagaimanapun, kami cuba atasinya dengan bantuan keluarga kedua-dua belah pihak,” ujarnya.
Neelofa berkata demikian semasa sidang akhbar bersama pihak media untuk pelancaran aplikasi TheNoor hari ini.
Ia adalah sebuah aplikasi yang dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri khas seperti waktu solat, arah kiblat, lokasi-lokasi masjid berdekatan.
Selain itu, ia turut menawarkan fungsi tafsir al-Quran dalam lima bahasa berbeza iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin, Bahasa Tamil dan Bahasa Indonesia.
Menurut Neelofa, selain hubungan mereka sudah pulih, dia juga menyatakan hubungan PU Riz dengan adik-beradiknya yang lain juga semakin baik.
“Memang kami beri masa untuk semua orang faham dan terima ketika perbincangan dibuat dan ia telah membuahkan hasil yang positif,” jelasnya.
Dalam pada itu, Neelofa juga menafikan mengenai dakwaan yang dia akan mempercepatkan tarikh perkahwinannya, berbanding pada bulan Mac ini seperti yang diperkatakan.
Jelasnya, dalam keadaan sekarang ini mungkin ia masih belum masa yang sesuai setelah bertanyakan pandangan beberapa pihak.
“Berkenaan dengan perkara itu, saya akan berkongsi kepada semua pihak apabila masanya sudah tiba nanti. – KopiPlanet.com