Cerita ArtisHiburan

Idan Aedan Cipta Sejarah, Jadi Pelakon Pertama Tempatan Ke Siri Netflix Antarabangsa

Pelakon Idan Aedan atau nama sebenarnya Muhammad Shahidan Abdullah, 18, melakar sejarah industri seni apabila menjadi pelakon pertama tempatan yang membintangi siri Netflix antarabangsa.

Malah, dalam siri 13 episod berjudul Mr. Midnight : Beware The Monsters yang telah menjalani penggambaran di Batam, Indonesia dan Singapura pada pertengahan 2021 itu, dia diberi kepercayaan membawa watak utama sebagai Tyar. 

“Saya bersyukur diberikan peluang sebesar ini. Dalam masa yang sama, saya boleh cakap tak pernah terbayang untuk sampai ke tahap itu. Umur saya baru 17 tahun ketika itu. Rezeki saya. Alhamdulillah.

“Saya sedar, bukan mudah untuk pelakon tempatan diberikan peluang sebegitu. Rasa macam mimpi pun ada. Tidak dinafikan, bekerja dengan produksi antarabangsa adalah antara impian saya. Dapat pula berlakon dalam drama bergenre kesukaan saya iaitu seram.

“Tipulah kalau saya cakap tak pernah impi mahu berlakon dengan produksi antarabangsa. Cuma, saya tak sangka rezeki saya datang terlalu cepat,” ujarnya yang teruja dapat bekerja dengan tiga pengarah dan para pelakon yang hebat dari luar negara iaitu Tony Tilse, Sean Oliver dan Yee-Wei Chai.

Dalam siri tersebut, Idan bergandingan dengan pelakon remaja popular dari Indonesia iaitu Adinia Wirasti dan Maxime Bouttier.

Bukan itu sahaja, Idan akui rasa bertuah dapat bekerjasama dengan pelakon Caleb Monk, Chen Yixin, Nikki Dekker dari Australia. 

“Saya boleh kata satu kenangan manis dan tak dapat saya lupakan. Dalam usia yang muda dapat bekerja dengan mereka yang sudah dikenali di peringkat antarabangsa. Ini satu pencapaian yang tak pernah saya terfikir.

“Selain pengarah dan gandingan pelakon yang best, cara bekerja juga amat berbeza. Bukan sahaja saya belajar tentang lakonan, saya turut diberikan pendedahan tentang camera work dan teknikal lain yang membuatkan saya boleh memahami keseluruhan perjalanan cerita itu,” ujarnya mengakui terdapat banyak perbezaan dari segi lighting, set lokasi dan proses penggambaran di luar negara.

Tidak pernah mengambil kelas bahasa inggeris, namun dia berkebolehan dalam bahasa tersebut memandangkan ibunya sering menggalakkannya menonton program televisyen berbahasa inggeris sejak kecil lagi.

“Cuma pada awal shooting tu saya agak rasa kekok kerana pengarah dan semua krew bercakap dalam bahasa Inggeris. Sebelum shooting, saya back to back shooting filem Melayu, tiba-tiba sampai di lokasi Mr. Midnight, semua bercakap bahasa Inggeris.  Agak terkejut juga, tapi selepas itu dah okey,” katanya.

Bercerita lanjut tentang keistimewaan watak Tyar dalam siri adaptasi novel popular di Singapura itu, Idan berkata, Tyar boleh melihat dan berkomunikasi dengan makhluk halus disebabkan  keturunan sebelah ibunya adalah dukun.

“Tyar yang berumur 17 tahun tidak tahu bagaimana hendak mengawal situasi tersebut. Bermacam-macam konflik timbul.  Kalau nak tahu lanjut bagaimana dia berhadapan dengan dunia ghaib tersebut, kenalah tonton nanti,” ujar Idan. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button