
Identiti 5 Finalis The Masked Singer Bakal Dibongkar Malam Ini
Memasuki peringkat akhir malam ini, penonton akhirnya bakal didedahkan dengan identiti sebenar lima finalis The Masked Singer Malaysia (TMSM) musim pertama.
Lima finalis tyang memakai maskot Orang Utan, Bunga Raya, Wau, Enggang dan Rajah Brooke bakal mempersembahkan mutu nyanyian yang berkualiti bagi merebut gelaran juara TMSM.
Minggu lalu, perjalanan maskot Rafflesia yang disarung Datin Paduka Eina Azman terhenti apabila dia berada di kedudukan terbawah.
Mengulas mengenai penglibatannya dalam program itu, Eina berkata, “Semasa awal-awal terima tawaran, saya tidak tahu tentang program ini kerana tidak pernah menyaksikannya. Tetapi selepas saya membuat research, saya berfikir, ‘Wow, something different!’.”

“Saya bukan seorang penyanyi, tidak pandai menari serta tidak pernah membuat persembahan depan ramai orang. Selepas saya bercakap dengan suami, dia kata, kalau rasa berani dan nak cabar diri, ‘go for it’. Saya berjaya keluar dari zon selesa dengan menjadi seorang Rafflesia. Saya pun tidak sangka langsung boleh sampai ke separuh akhir, ingatkan minggu kedua dah tersingkir,” ujarnya.
TMSM menguji kehebatan sembilan juri tetap iaitu Datuk Aznil Nawawi, Ella, Angah, Nabila Huda, Remy Ishak, Ramona Zamzam, Zizan Razak, Raja Azura dan Michael Ang yang perlu meneka identiti siapa peserta di sebalik maskot yang dipakai mereka.
Setakat ini, seramai tujuh peserta telah tersingkir iaitu Datuk Mirnawan Nawawi, Ebby Saiful, Yana Samsudin, Zain Hamid, Hairul Azreen, Chiwan Chilok dan Eina Azman.
TMSM yang disiarkan di Astro Warna HD (107) pada setiap Jumaat, jam 9 malam dihoskan oleh Datuk AC Mizal. – KopiPlanet.com