
Ifan Seventeen Kenang Setahun Pemergian Isteri Dalam Bencana Tsunami
Vokalis kumpulan Seventeen, Ifan atau nama sebenarnya, Riefian Fajarsyah mendedikasikan sebuah posting khas buat mengenang Allahyarham isterinya, Dylan Sahara yang terkorban dalam bencana tsunami yang melanda Tanjung Lesung, Banten, Indonesia setahun lalu.
Menerusi muat naik itu, Ifan berkongsikan beberapa siri gambar kenangan bersama arwah Dylan ketika mereka sama-sama meniti hari bahagia sebagai suami isteri.
Peminat cukup terkesan dengan ucapan syahdu Ifan yang dikongsikannya menerusi kapsyen, “Malam ini malam kedua ulang tahun kamu kita tidak dinner berdua. Tapi InsyaAllah kita akan dinner romantis lagi nanti disurganya Allah sayang ya, forever. Happy birthday Dylan, happy birthday sayang, Al-Fatihah.”
Tsunami yang melanda Selat Sunda itu berlaku pada malam 23 Disember tahun lalu ketika Seventeen diundang untuk menjayakan persembahan di Tanjung Lesung Beach Resort.
Selain isteri Ifan, anggota lain Seventeen terdiri daripada pemain bass, Muhammad Awal Purbani, pengurus kumpulan, Oki Wijaya, pemain gitar, Herman Sikumbang, anggota kru, Rukmana Rustam dan pemain dram, Wisnu Andi Darmawan turut maut dalam bencana tersebut yang turut mengorbankan lebih 230 orang awam lain. – KopiPlanet.com