Ikon RR Empire Perkukuh Jenama Rizman Ruzaini, Bantu Lebih Ramai Usahawan Jana Pendapatan
Sejak memulakan empayar perniagaan mereka tanpa bantuan kewangan yang kukuh, siapa sangka kini jenama Rizman Ruzaini sudah sebaris dengan jenama fesyen antarabangsa lain.
Tentunya kejayaan yang dicapai ini tidak datang dalam tempoh yang singkat. Selama 17 tahun berusaha keras untuk berada pada tahap ini, ternyata cita-cita pemilik jenama ini harus menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda di luar sana.
Melalui sendiri kepayahan lampau, Rizman dan Ruzaini sentiasa bersiap siaaga dalam mendepani cabaran demi cabaran masa depan. Jika dahulu mereka sekadar selesa untuk bergelar pereka fesyen, siapa sangka keberanian untuk meluaskan jenama ini membawa pulangan yang cukup lumayan.
Namun, menyedari bahawa sikap berpuas hati hanya akan menyebabkan mereka terus statik pada kedudukan yang sama, hari ini mereka meluaskan lagi cabang perniagaan mereka. Bersyukur dengan pengiktirafan yang membawa kepada kedudukan jenama mereka hari ini, menurut Rizman apa yang dimiliki mereka ini tidak seharusnya dilihat sebagai kejayaan satu pihak memandangkan ia membabitkan pelanggan mereka di luar sana.
Bangkit dengan kepercayaan itu, Rizman yakin sudah sampai waktunya untuk jenama ini kembali menyumbang kepada peminat jenama ini melalui pelan perniagaan yang cukup menarik.
Selain memberi ruang yang lebih luas untuk segmen perniagaan RR di bawah Rizman Ruzaini ini terus berkembang, pelan perniagaan yang memperkenalkan IKON RR EMPIRE ini juga dilihat tepat pada waktunya.
“Saya anggap ini adalah salah satu usaha kami untuk menyumbang kembali kepada masyarakat di luar sana untuk menjana pendapatan dengan cara yang cukup mudah. Apa yang kami wujudkan ini bukan datang dengan sekelip mata, ia membabitkan perancangan jangka masa yang lama demi memastikan program ini sesuai dengan situasi di negara kita.
“Ingin saya tekankan di sini, tujuan kami adalah untuk membantu melahirkan lebih ramai usahawan di luar sana. Melalui program ini, kami akan buktikan bagaimana mudahnya untuk sesiapa sahaja boleh membina kerjaya sebagai usahawan tanpa perlu mengeluarkan modal,” katanya.
Tambah Rizman, dia bersama rakan niaganya Ruzaini juga turut mencetuskan idea dalam membina sistem jual beli yang membolehkan IKON RR EMPIRE mendapat manfaat yang lebih baik berbanding pelan pernigaan yang mungkin pernah diguna pakai sebelum ini.
“Apabila bergelar IKON RR EMPIRE, menjadi tanggungjawab pihak kami untuk membantu mereka. Jujurnya mereka yang dipilih sangat bertuah memandangkan promosi dan bantuan daripada segi bimbingan jualan akan diberikan pihak syarikat sendiri.
“Dalam erti kata mudah, mereka hanya perlu ‘pose cantik’ sahaja di rumah, tidak perlu pegang produk pun. Malah setiap bulan, kami juga akan mengadakan kelas grooming selain bantuan dari pelbagai sudut lain,” katanya.
Menurut Rizman lagi, pemilihan produk yang akan dijual juga akan dikhususkan pada beg tangan dan tudung sahaja. Kedua-dua produk ini paling mendapat sambutan yang baik dalam pasaran. Tambah beliau, pemilihan dua produk ini juga sesuai dalam memastikan IKON RR EMPIRE dapat fokus dalam perniagaan mereka.
“Kita pernah cuba dengan produk kecantikan sebelum ini tapi kita dapati teknik pemasarannya lebih rumit kerana ia memerlukan testimoni dan sebagainya. Namun, dengan dua produk ini, pemasarannya lebih ringkas. Lantaran, kita tahu tudung dan beg tangan adalah produk yang tidak akan basi selain kekal relevan untuk tempoh masa yang panjang.
“Tambahan pula, pengeluaran koleksi baharu tudung dan beg tangan akan dilakukan secara bulanan. Selain untuk memenuhi cita rasa pengguna, ia juga sebagai salah satu cara untuk kami memastikan produk RR terus mendapat tempat di hati pelanggan,” katanya.
Pada majlis yang berlangsung itu, pelakon terkenal Mira Filzah turut diumumkan sebagai ‘muse’ koleksi tudung terbaharu RR Rivera.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai usaha pembukaan kiosk RR di seluruh negara, jelas Rizman pihaknya kini dalam usaha membuka lebih banyak kiosk kekal pertama mereka tidak lama lagi. Jelasnya, ini juga adalah usaha awal RR sendiri sebelum mencapai sasaran untuk membuka 10 kiosk kekal RR pada tahun 2023. – KopiPlanet.com