FilemTerkini

Imaginur Papar Kisah Romantik Diselitkan Elemen Sains Fiksyen

Mengangkat sebuah kisah percintaan yang mengetengahkan elemen romantik scifi pastinya merupakan sebuah naskah yang cukup unik.

Itulah yang cuba diketengahkan oleh pengarah terkenal, Nik Amir Mustapha menerusi filem terbaharunya berjudul Imaginur.

Nik Amir berkata, Imaginur sebuah filem bertemakan cinta, tetapi disulam dengan elemen hipnosis untuk menjadikan jalan ceritanya lebih menarik.

“Imaginur sebuah kisah cinta, mengisahkan tentang seorang lelaki yang mimpikan seorang gadis, kemudian setelah melalui proses hipnosis, tiba-tiba dapat berjumpa di alam realiti.

“Bolehkah kita dipukau untuk bercinta? Saya terinspirasi dengan soalan itu dan berhasrat membuat satu ‘snapshot’ kehidupan orang Malaysia yang bertemakan cinta dan keluarga yang dipakej bersama elemen hipnosis,” ujarnya.

Merupakan filem ketiga dihasilkan selepas KIL dan Terbaik Dari Langit, Nik Amir memberitahu bahawa idea untuk menghasilkan Imaginur timbul memandangkan dia begitu minat dengan  minda manusia yang kompleks. 

“Sebenarnya, idea untuk menghasilkan filem ni sudah ada sejak sebelum saya mengarahkan filem pertama iaitu KIL. 

“Akhirnya, saya berganding dengan Redza Minhat untuk menulis sebuah filem bertema cinta, hipnosis dan kehidupan. Setelah lama tak buat filem, saya rasa nak buat comeback dengan idea original saya dulu maka terhasillah Imaginur,” jelasnya.

Diterbitkan oleh Lumatic Films, Imaginur mengandingkan dua orang pelakon hebat iaitu Beto Kusyairy dan Diana Danielle selaku teraju utama. 

Mengenai pemilihan kedua-dua pelakon berkenaan, Nik Amir menyatakan keyakinannya terhadap Beto dan Diana untuk menjayakan watak masing-masing dengan baik.

“Umum mengetahui Beto merupakan seorang pelakon yang mampu menjiwai apa sahaja watak. Malah, dia berhasil memberikan komitmen lebih dari 100 peratus untuk watak Zuhal.

“Mengenai Diana pula, saya tertarik dengan kebijaksanaannya apabila pertama kali berbincang mengenai filem ini. Saya rasa dia memang cukup sesuai untuk membawakan watak Nur, seorang gadis yang penuh misteri,” jelasnya.

Dalam pada itu, bercerita tentang cabaran untuk menghasilkan Imaginur, Nik Amir mengakui ia mencabar memandangkan dia bertindak selaku pengarah dan penerbit.

Ujarnya, selain faktor pandemik yang membuatkan penggambaran tergendala, faktor kewangan juga cukup memberikan cabaran.

“Sebagai syarikat kerdil, cabaran terbesar memang dari segi kewangan dan Lumatic Films mengambil masa yang lama untuk mengumpul dana yang cukup dan akhirnya dengan bantuan pihak FINAS juga, maka kami berjaya menyiapkan Imaginur. 

“Pembikinan juga tergendala sangat lama kerana terjejas pandemik, tetapi kami gunakan masa itu untuk memperhalusi filem ini sebaiknya. Alhamdulillah, setelah bertungkus lumus, filem ini berjaya disiapkan,” ujarnya.

Pada masa sama, Nik Amir memberitahu bahawa filem Imaginur ini mempunyai tarikan tersendiri untuk penonton menontonnya di pawagam.

Jelasnya, selain menampilkan ramai pelakon hebat, tarikan filem berkenaan adalah plotnya yang penuh misteri dan menjadi tanda tanya. 

Ujarnya, penonton akan disajikan sebuah cerita dengan unsur misteri yang tidak terlalu ‘straight forward’ dan yakin penonton dapat mendapat satu kepuasan selepas menontonnya.

“Walaupun Imaginur bukanlah sebuah filem blokbuster, saya harap cerita seperti ini mendapat sambutan masyarakat dan dapat bermain dengan perasaan penonton.

“Kami cuba menghidangkan sesuatu yang alternatif dari segi plot dan penyampaian dengan harapan lebih cerita seperti ini dapat dibikin dan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia,” ujarnya.

Imaginur akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 23 Februari 2023. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button