Cerita ArtisHiburan

Irfan Haris Muncul Dengan Single Baharu Nervous, Kisah Seorang Lelaki Mahu Lamar Kekasih Untuk Berkahwin

Penyanyi BBNU popular tanah air yang sinonim dengan lagu-lagu balada dan sedang popular dengan lagu ‘Bisik’ yang viral di aplikasi TikTok, Irfan Haris tampil dengan single terbaharu berjudul ‘Nervous’ ciptaannya sendiri bersama abang kandung, Haiqal Iskandar serta saudara rapat, Ubaidillah, manakala diterbitkan oleh jenama hiburan paling berpengaruh negara, Rocketfuel Entertainment.

Baru-baru ini, Irfan telah memperoleh keputusan cemerlang di dalam pelajarannya dan berita tersebut turut dikongsi di laman Instagram miliknya.

“Saya berasa sangat-sangat bersyukur dengan keputusan ini, tiada formula rahsia selain bekerja keras dan komited dengan setiap tugasan yang diberikan. Selain itu, saya juga sentiasa akan pastikan untuk hadir ke setiap kelas dan kebanyakan pensyarah banyak membantu saya,” kongsi Irfan dalam nada gembira.

Selain itu, single Bisik yang dilancarkan kira-kira tiga bulan lepas turut mendapat sambutan luar jangkaan dan menjadi tular di aplikasi TikTok.

“Sambutan terhadap lagu Bisik amat memberangsangkan dan melangkaui jangkaan saya, banyak stesen-stesen radio yang memutarkannya kerana mendapat permintaan yang tinggi, tidak kurang juga ramai yang menyukainya kerana mereka boleh kaitkan dengan jalan ceritanya yang menyentuh jiwa.

“Perkara sebeginilah yang membuatkan saya lebih bersemangat lagi untuk terus menghasilkan karya-karya muzik yang lebih berkualiti buat peminat-peminat saya pada masa akan datang,” jelas Irfan yang terkenal dengan hashtag #sendu4lyfe.

Single ‘Nervous‘ ini berkisar tentang seorang lelaki yang ingin melamar kekasih hatinya untuk berkahwin, “Lagu ini sebenarnya sangat ‘sweet’ dan cocok untuk mereka yang sedang dilamun cinta, mengenai penyatuan dua hati yang ingin ke jinjang pelamin.

“Kalau pendengar amati, melodinya juga kedengaran santai ala-ala jazz pop yang ‘easy-listening’ dan tidak terlalu berat, sesuai dijadikan lagu ketika majlis perkahwinan.

“Jujur saya katakan lagu ini antara yang paling cepat pernah dihasilkan, kami bertiga bermula ketika bulan September dan siap sepenuhnya dalam bulan November, hampir dua bulan sahaja.

Kali ini Irfan tidak tampil dengan sebuah video muzik (MV), cukup sekadar lirik video sahaja yang memaparkan konsep yang ringkas namun menarik dengan penggunaan skrin hijau melalui visual yang pasti menggamit perhatian penonton nanti.

Sementelah menginjak kedewasaan, Irfan mahu mencabar diri dengan menghasilkan lagu yang pelbagai dan menceburi cabang seni yang lain seperti lakonan, katanya penuh bersemangat: “Saya hendak menjadi seorang penyanyi yang versatil dan tidak terikat dengan hanya satu genre sahaja, saya juga tidak tahu jika peminat atau penggemar muzik dapat menerima buah tangan terbaharu saya ini. Semuanya terletak pada rezeki, namun saya akan terus berusaha dengan berikan yang terbaik.

“Selain itu, saya juga hendak menceburi bidang lakonan mulai tahun hadapan dan bersedia untuk menghadiri sesi ujibakat jika diberikan peluang. Saya pernah menerima tawaran berlakon ketika masih belajar tetapi terpaksa ditolak kerana bercanggah dengan jadual di universiti. Siapa tahu, mungkin tahun hadapan saya akan membintangi drama bersiri atau pun telemovie, jadi doakan saya.

Encik Feros Sayna, selaku Ketua Rocketfuel Entertainment berkata, “Irfan adalah di antara artis muda kami yang berbakat dan konsisten dalam apa jua yang dilakukannya. Selain mempunyai bakat semulajadi dalam muzik, dia juga seorang pelajar yang pintar. 

“Kami mahukan artis yang bukan sahaja berkebolehan dalam bidang muzik tetapi cemerlang dalam bidang akademik dan boleh dijadikan contoh buat anak muda di luar sana. 

Sebagai anak seni, Irfan sedar akan cabaran yang perlu dihadapainya dalam bersaing dengan artis-artis yang sedia ada, katanya penuh pengharapan, “Perkara utama bagi seseorang artis itu adalah bagaimana untuk kekal relevan, tidak mudah kerana apabila produk baharu yang dikeluarkan seperti single ataupun lakonan, sama ada diterima atau tidak menjadi cabaran terbesar.

“Saya berharap agar semua akan suka dengan lagu ini dan bersyukur jika ada yang ‘enjoy’ mendengarnya, bagi saya apabila ada yang DM (direct message) mengatakan mereka suka dengan lagu ciptaan saya, itu sudah mencukupi dan ‘I’m a happy boy’.

Lagu ‘Nervous’ boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian popular seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala lirik video single ini boleh ditonton oleh peminat secara eksklusif hanya di saluran YouTube Rocketfuel Network.

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button