Tajuk: IT
Tayangan: 7 September 2017
Durasi: 2 Jam 15 minit
Pengarah: Andres Muschietti
Pelakon: Bill Skarsgard, Jaeden Lieberher, Finn Wolfhard, Jack Dylan Grazer
Klasifikasi: 18
Ketika ini pawagam-pawagam di seluruh negara sedang hangat dengan penayangan filem IT yang diremake semula daripada novel popular tulisan Stephen King.
IT 2017 mengisahkan mengenai badut Pennywise yang dikenali sebagai ‘penculik’ kanak-kanak yang popular di era 80-an.
Filem yang mengambil latar belakang tahun 1988 itu mengisahkan mengenai seorang remaja lelaki, Bill yang kehilangan adiknya, Georgie pada suatu petang.
Kehilangan Georgie telah menguatkan azam Bill untuk menjejaki adiknya itu walaupun ibu bapanya percaya adiknya sudah mati.
Susulan itu, pada musim cuti panas, Bill dan enam rakannya telah menubuhkan The Losers Club bagi merungkai misteri mengenai kehilangan kebanyakan kanak-kanak di kawasan perumahan mereka pada ketika itu.
Dalam misi tersebut, pelbagai cabaran, halangan dan dugaan yang terpaksa dihadapi Bill, Eddie, Stanley, Ben, Richie, Beverly dan Mike, malah masing-masing turut berdepan dengan ketakutan mereka yang cuba dimanipulasi oleh badut Pennywise yang dilakonkan dengan penuh bersahaja oleh aktor kelahiran Sweden, Bill Skarsgard.
Dalam ketujuh-tujuh hero cilik itu, masing-masing mempunyai karakter mereka yang tersendiri. Ada yang penakut, terlalu pentingkan kebersihan, ‘mamat jiwang’, awek yang rebel, namun semuanya diadun dengan penuh berperisa oleh sutradaranya.
Selama dua jam tayangan filem ini, ada ketikanya penulis tertoleh pada jam tangan memandangkan ada beberapa ketika filem ini kelihatan ‘too draggy’, namun ia bijak diselang-selikan dengan dialog lucu pelakon-pelakon ciliknya yang sering kali mendapat hilai tawa penonton.
Dari segi sinematografi, filem ini memang cantik dan kena dengan mood 80-an yang cuba dibawakan oleh pengarahnya, Andres Muschietti.
Secara keseluruhannya, jika anda menginginkan sebuah cerita seram yang dramatik dan suspense, filem ini tidaklah begitu mencapai piawaian itu.
Ini kerana IT lebih bermain dengan suasana gelap bagi mencipta keseraman dan ada ketikanya pergerakan Pennywise boleh mengundang tawa walaupun pada ketika itu ia sepatutnya menerbitkan rasa cuak dan seram pada si penonton.
Apa-apapun penulis bagi 3.5 bintang bagi IT kerana ia berjaya menerapkan unsur-unsur persahabatan sejati yang boleh dijadikan nilai positif buat kanak-kanak yang menontonnya.