Cerita ArtisHiburan

“Tengok Dulu Dan Nilai Sendiri Filem XX Ray III” – Izzue Islam

Pelakon filem XX Ray III, Izzue Islam meminta peminat filem tempatan menonton terlebih dahulu filem tersebut sebelum ingin memberikan kritikan.

Menurut Izzue, dia ada membaca beberapa kritikan dan review negatif yang diberikan penonton yang sudah melihat filem tersebut namun selebriti berusia 28 tahun ini meminta peminat pergi melihatnya sendiri kerana selera penonton adalah berbeza di antara satu sama lain.

“Saya memang ada baca review negatif itu. Bagi saya setiap orang ada pendapat masing-masing. Mereka berhak untuk bercakap apa sahaja mengenai filem yang mereka dah tengok.

“Tapi saya mohon orang yang masih belum menonton pergi tengok dahulu dan kemudian nilai sendiri filem tersebut. Jangan bila kita dengar orang cakap negatif, kita terus jadi negatif, pergi tengok dulu.

“Mungkin dalam ramai-ramai yang negatif itu, ada juga segelintir yang suka dengan filem itu. Anda ambillah yang positif itu. Kita hanya nak berhibur dengan tengok filem ini lebih-lebih lagi filem bergenre fiksyen sains ini jarang-jarang ada dalam pasaran,” katanya kepada KopiPlanet.com

Filem XX Ray III merupakan kesinambungan filem XX Ray (1992) dan XX Ray II (1995) yang diarahkan pengarah berpengalaman, Aziz M. Osman.

Selain Izzue, XX Ray III yang menelan kos RM2.5 juta turut dibintangi Nonny Nadirah, Adam John, Dazrin Kamaruddin, Ardell Aryana, Ashraf Muslim, Saiful Apek, Datuk Jalaludin Hassan, Datuk Rahim Razali, Razak Ahmad dan Aziz M. Osman.

XX Ray III mengisahkan tentang tiga anak muda iaitu Rayyan (pelajar fizik), Sam (pelajar kejuruteraan zarah) dan Lana (pekerja rahsia syarikat perindustrian yang berpengkalan di Jordan/sempadan Israel) dalam misi untuk menyelamatkan kerajaan Malaysia daripada disabotaj oleh seorang hartawan muda, Rosman yang mengancam untuk mengulangi insiden kehilangan kuasa tenaga elektrik di seluruh negara yang pernah berlaku pada Ogos 1996.

Insiden tersebut disebabkan wormhole (lohong ulat) yang menyerap kuasa utama tenaga elektrik dari stesen jana kuasa di Paka, Terengganu. Lohong ulat terjadi adalah berpunca dari sebuah probe yang tidak dikenali dari angkasa lepas.

Bapa Rosman, Tan Sri Ismail telah mengambil probe tersebut dan menyembunyikannya. Hakikatnya probe tersebut adalah salah satu daripada ribuan probe yang diprogramkan untuk membuka stargate terbesar dan menyerap tenaga matahari untuk dihantar semula ke alam semesta lain.

Ketiga-tiga anak muda itu kemudiannya mencari buku nota yang ditulis oleh Profesor Amir (seorang tokoh ‘urban legend’) yang dipercayai mempunyai jawapan untuk mengawal probe berkenaan dan seterusnya menyelamatkan sistem solar.

Filem terbitan Ace Motion Pictures Sdn. Bhd itu telah pun ditayangkan di 71 pawagam seluruh negara bermula 24 Januari lalu. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button