Cerita ArtisHiburan

Jadual Padat, Hannah Delisha Tolak Tawaran Lakonan Di Singapura

Pelakon cantik kelahiran Singapura, Hannah Delisha mengakui terpaksa menolak semua tawaran lakonan dari negara asalnya itu kerana jadualnya yang terlalu padat.

Menurut Hannah, jadual kerjaya lakonannya di Malaysia ketika ini sudah penuh sehingga hujung tahun dan itu menjadi punca dia terpaksa menolaknya.

“Nama saya mula meningkat naik sebagai pelakon ketika di Singapura. Sudah tentu saya rindukan dunia lakonan di negara kelahiran sendiri.

“Cuma tawaran lakonan di Singapura sering saya dapat saat akhir dan bertembung dengan jadual lakonan di Malaysia dan itu yang membuatkan saya terpaksa menolaknya,” ujar pelakon yang mula dikenali ramai menerusi drama bersiri Mencintaimu Mr. Photografer bersama Syafiq Kyle.

Hannah ditemui KopiPlanet.com semasa majlis pelancaran drama mini Tiga Gadis Manis Musim Kedua yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam.

Menurut Hannah, dia bersyukur kerana namanya kini semakin diterima ramai peminat di Malaysia serta tawaran lakonan yang semakin banyak.

“Tidak timbul isu saya melupakan negara asal sendiri semata-mata lebih aktif berlakon di negara ini. Pada saya ini semua adalah rezeki apabila dapat bertapak kukuh di Malaysia.

“Lagipun penerbit di Singapura begitu memahami kalau saya terpaksa tolak tawaran mereka atas sebab kekangan jadual. Saya akui sangat rindu nak berlakon di negara sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, bercerita tentang pembabitannya dalam drama mini Tiga Gadis Manis Musim Kedua, Hannah memberitahu ia kali pertama dia berlakon dalam sebuah drama mini.

Dalam drama yang ditayangkan di platform digital itu, dia bergandingan bersama dua orang pelakon lagi iaitu Yaya Zahir dan Dee Alhadi.

“Saya membawakan watak seorang gadis bernama Jo yang mempunyai kerjaya sebagai seorang jurutera. Saya tertarik menerima berlakon dalam drama ini kerana jalan ceritanya yang menarik iaitu tentang memperkasakan wanita,” jelasnya.

Drama mini Tiga Gadis Manis Musim Kedua bersiaran selama 15 minit sebanyak tujuh episod dan boleh dilayari menerusi laman web www.3gadismanis.com.my dan aplikasi Gempak bermula 9 April 2018. – KopiPlanet.

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button