Jalin Kerjasama Dengan Sonu Music Entertainment Malaysia, KRU Bakal Kembali Dengan Kejutan
Tidak ada rakyat Malaysia yang tak mengenali kumpulan muzik gergasi KRU. Tersenarai sebagai salah satu kumpulan muzik tempatan yang berjaya mengubah revolusi dunia muzik serantau, kumpulan yang dianggotai tiga adik-beradik ini pernah mencipta pelbagai fenomena sepanjang mereka berkarya di Malaysia dan luar negara.
Ditubuhkan pada tahun 1992, KRU merupakan salah satu nama terkemuka dalam industri muzik tempatan. Dianggotai oleh tiga beradik Norman, Yusry, dan Edry Abdul Halim — KRU telah mencipta pelbagai lagu hit yang menjadi ikonik di kalangan peminat.
Dengan kombinasi muzik pop, hip-hop, dan R&B, KRU bukan sahaja mencatat kejayaan dalam bidang muzik tetapi juga dalam produksi filem dan perniagaan media. Mereka dikenali dengan album-album yang laris, seperti “Generasi” dan “KRU,” serta lagu-lagu popular seperti “Awas 1994” , “Ooh! La! La! 1996” dan banyak lagi.
Mereka juga telah melahirkan ramai bakat-bakat baharu yang bernaung di bawah syarikat mereka selain menghasilkan pelbagai lagu untuk ramai penyanyi serantau.
KRU juga telah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan, menjadikan mereka salah satu kumpulan yang paling berpengaruh dalam sejarah muzik Malaysia.
Kini setelah lebih 30 tahun berada dalam industri muzik tempatan, mereka kembali membuat kejutan saat mengumumkan kerjasama dengan syarikat gergasi muzik dan rakaman dunia, Sony Music Entertainment Malaysia.
Kolaborasi ini merupakan inisiatif pihak Sony Music Malaysia sendiri yang percaya kepada kehebatan, komitmen serta kualiti kerja kumpulan KRU yang sudah bertahan lebih 30 tahun.
Secara tidak langsung, pengumuman ini juga memberitahu kepada para peminat muzik Melayu serantau bahawa KRU kini bakal kembali dengan beberapa kejutan terbaharu yang diiringi sokongan serta kerjasama daripada Sony Music Malaysia.
Kedua-dua pihak yakin bahawa kerjasama ini akan membuahkan pelbagai produk hiburan yang hebat dan luar biasa.
Dengan komitmen terhadap inovasi dan kualiti, KRU juga berjanji untuk terus berusaha demi mencipta karya yang relevan dan menghiburkan.