Jejai, Aidil Kongsi Tarikh Lahir… Fasha Anggap Satu Kebetulan
Pelakon Fasha Sandha menyatakan dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk menzahirkan ucapan selamat hari lahir buat bekas suaminya, Rizal Ashram Ramli yang kebetulan sama tarikh lahir dengan suaminya iaitu pelakon Aidil Aziz.
Difahamkan bahawa Aidil dan Rizal Ashram atau Jejai masing-masing berkongsi tarikh lahir yang sama iaitu pada tanggal 26 Julai.
“Kebetulan pada hari lahir dia (Jejai), dia ada telefon saya dan ucap selamat hari lahir pada Aidil. Jadi secara profesional saya pun ucap benda yang sama pada dia. Sudah tentu saya tidak lupa tarikh lahir Jejai sebab dia tetap ayah kepada anak-anak saya.
“Saya pun pada mulanya tidak perasan yang tarikh lahir mereka sama. Kebetulan Allah jadikan hari lahir jodoh-jodoh saya pada tarikh yang sama,” kata Fasha berseloroh kepada KopiPlanet.com.
Fasha ditemui pada majlis pratonton filem televisyen (FTV), Timun Mas & Ijo yang diadakan di TGV One Utama, Damansara, baru-baru ini.
Dalam pada itu, menurut Fasha lagi dia tetap mengekalkan hubungan baik dengan bekas suami, malah mengekalkan keharmonian itu demi anak-anak.
“Anak-anak saya dibesarkan dengan suasana penuh kasih sayang. Mereka tidak pernah tahu atau nampak benda-benda yang tidak ‘best’ pasal ibu bapa mereka.
“Saya sentiasa terapkan pada mereka bagaimana caranya untuk menjadi orang yang sentiasa penuh dengan kasih sayang walaupun saya sebenarnya seorang ibu yang agak tegas dalam mendidik anak-anak,” ujar Fasha yang dikurniakan dua cahaya mata, Putra Rayfal Ramli, 6, dan Putri Raysha Jemyma, 5 hasil perkahwinan terdahulu.
Fasha kemudiannya berkahwin dengan Aidil pada 30 Mac lalu di Perlis setelah setahun berkawan rapat dengan aktor tersebut.
Menceritakan kehidupannya kini, Fasha menjelaskan dia berada dalam fasa yang cukup bahagia dan sebaik mungkin cuba mengimbangi tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan ibu dengan baik.
“Sebenarnya lepas dah kahwin, saya ingat nak perlahankan karier lakonan namun Alhamdulillah makin banyak pula tawaran yang datang. Saya anggap ini rezeki kahwin dan rezeki anak-anak juga. Sekarang saya semakin bahagia sebab ada keluarga besar (keluarga mertua).
“Walaupun saya sibuk sekalipun, saya akan pastikan dapat sediakan sarapan untuk suami dan anak-anak. Masak menu yang ringkas-ringkas pun tidak mengapa, asalkan ada air tangan saya,” katanya lagi. – KopiPlanet.com