FilemTerkini

Jika Catat Kutipan RM10 Juta, Nabil Ahmad Akan Bagi Bonus Kepada Pelakon & Kru Filem Mat Bond Malaya

Pengacara yang kini bergelar pengarah, Nabil Ahmad menyatakan dia akan memberikan bonus kepada barisan pelakon dan tenaga produksi apabila filem pertama arahannya, Mat Bond Malaya mencatat kutipan RM10 juta di Astro First.

Nabil berkata, perkara berkenaan telah dimaklumkan olehnya kepada semua yang terlibat dalam pembikinan filem berkenaan.

“Pada asalnya, saya sasarkan filem ini adalah untuk tayangan di pawagam dan pernah beritahu mereka (pelakon dan kru) jika filem ini catat kutipan RM20 juta, saya akan bagi bonus.

“Namun begitu, dalam keadaan sekarang ini filem ini hanya mampu tayang di Astro First. Apapun, bonus tetap akan diberikan jika ia mampu mengutip sebanyak RM10 juta,” ujarnya.

Nabil berkata demikian ketika sesi sidang media secara virtual yang berlangsung baru-baru ini.

Diterbitkan oleh KMN Production, filem Mat Bond Malaya menampilkan Naqiu dan Elizabeth Tan sebagai teraju utama serta pelawak Farid Azmeir, Azri Iskandar, Riezman Khuzaimi, Amyza Adnan, Reza Hasbi, Azrin, Aloy, Aziz M. Osman dan Ghaz Abu Bakar.

Lebih istimewa lagi, beberapa binatang besar seperti Datuk Yusof Haslam, Datuk Seri Aliff Syukri, Datuk Ramli MS, Syafiq Kyle, Ning Baizura, Han Byul, Didie Alias, Mamak Puteh, Achey Bocey, Taukeh dan Mamat Khalid turut membuat kemunculan khas secara cameo.

Mat Bond Malaya mengisahkan tentang Mat yang ingin menjadi seorang ejen perisik di M6. Dengan bantuan ibunya, dia berjaya bekerja di M6, tetapi sebagai ‘office boy’. 

Pada masa yang sama, dia mula menyukai salah seorang ejen jelita bernama Bondi. Mat telah dicabar oleh G untuk mengambil gambar bersama Bondi. Namun, Mat tidak berjaya dan disebabkan kalah dalam pertaruhan, Mat terpaksa menjadi pembantu peribadi kepada G dalam menguruskan bahagian penyamaran identiti.

Satu hari dunia telah digemparkan dengan serangan virus zombie yang disebarkan oleh Dr Ebel. Ramai yang terkena virus tersebut termasuklah ejen-ejen di M6 dan Bondi. Mat tiada pilihan melainkan dan perlu mencari penawar bagi menyelamatkan semua orang sebelum virus tersebut merebak ke seluruh dunia.

Menceritakan lebih lanjut mengenai pembikinan filem berkenaan, Nabil memberitahu pihaknya bernasib baik apabila penggambaran selesai dilakukan seminggu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dilaksanakan pada tahun lalu.

“Penggambaran filem ini berlangsung selama 25 hari dan ia turut membabitkan seramai 350 pelakon tambahan yang kebanyakannya terdiri daripada penuntut sebuah kolej.

“Apa pun saya bersyukur kerana penggambaran berjalan dengan lancar. Biarpun tidak dapat ditayangkan di pawagam, saya tetap berpuas hati apabila akhirnya filem ini dapat juga ditayangkan di Astro First.

Mat Bond Malaya akan mula menemui penonton mulai 20 Julai ini dan mereka yang ingin menontonnya boleh melanggan di saluran Astro First 480. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button