“Kalau Ada Masalah Boleh Bincang, Tidak Perlu Diperbesarkan” – Nabila Razali
Baru-baru ini, sebuah portal mendedahkan mengenai seorang penyanyi yang dikatakan tidak profesional ketika hadir menjadi tetamu sebuah stesen radio swasta.
Semuanya timbul apabila penyanyi berkenaan dikatakan telah menjawab panggilan sebuah stesen radio lain ketika sedang ke udara bersama stesen radio tersebut.
Apabila cerita berkenaan tersebar, tersebar bahawa artis yang dimaksudkan adalah Nabila Razali, meskipun nama penyanyi berkenaan tidak disebut.
Enggan mengulas panjang mengenainya, Nabila yang ketika ditemui media menjelaskan bahawa sekiranya ada masalah, ia tidak seharusnya menjadi bahan penceritaan.
> Baca: Cinta Loca B & Tuju K-Clique Kembali Bertaut, Bakal Keluar Lagu Bersama
“Kalau ada masalah boleh borak-borak, boleh bincang-bincang. Kalau salah boleh tegur saya, tetapi tidak perlu diperbesarkan.
“Saya manusia dan banyak buat silap… ada perbuatan yang saya rasa tidak salah, tetapi salah di mata orang lain dan saya pun tak tau,” ujarnya.
Nabila berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran video muzik rasmi single Peluang Kedua yang berlangsung hari ini.
Menerusi video muzik berkenaan, penyanyi itu telah memilih penyanyi rap MK Clique untuk bergandingan dengannya. Sebelum ini, video muzik lirik lagu tersebut sudah mencapai 12 juta tontonan di YouTube.
Jelas Nabila, biarpun diminta hadir untuk promosi pada saat-saat akhir, dia tidak kisah kerana niatnya memang untuk mempromosikan drama dan lagu yang membabitkan dirinya.
“Point saya kalau ada benda yang tidak kena boleh cakap terus dan jangan dijadikan cerita. Saya pun tidak mahu ulas lebih lanjut kerana tidak menyangka perkara ini boleh timbul.
“Kalau betul saya salah, mengguriskan hati sesiapa atau mana-mana pihak pada waktu itu, saya Nabila Razali minta maaf sangat-sangat. Insyaallah, benda ini tidak akan berlaku lagi,” jelasnya. – KopiPlanet.com