Cerita ArtisHiburan

Kali Pertama Duduk Di Kerusi Pengarah, Intan Ladyana Akui Jadi Bidan Terjun

Pelakon popular, Intan Ladyana mengakui dia terpaksa menjadi bidan terjun apabila memikul tugas sebagai pelakon, pengarah dan penerbit untuk filem baharu terbitannya, Banglo Seksyen 12.

Intan berkata, pada mulanya dia hanya bertindak sebagai pengarah dan penerbit, namun terpaksa juga berlakon setelah ada pelakon wanita lain yang menolak kerana tidak sesuai dengan bajet.

“Dalam filem ini, kami ada kekangan dari segi bajet untuk menerbitkannya, malah kami juga mendapat RM500,000 daripada Finas menerusi program inkubator.

“Selain itu, keputusan untuk saya duduk di kerusi pengarah juga adalah keputusan daripada Aziz M. Osman selaku penyelia projek. Jadi, saya bertindak sebagai pengarah bersama dengan Dharma Nasution,” ujarnya.

Bercerita lebih lanjut mengenai filemnya itu, Intan menjelaskan bahawa ia adalah inspirasi daripada sebuah novel hasil tulisan Hasrudi Jawawi menggunakan tajuk yang sama.

Ujarnya, selain berhadapan dengan kekangan bajet, cabaran yang terpaksa dihadapi juga adalah melalui fasa pandemik Covid-19 ketika memulakan penggambaran.

“Ketika kami baru mulakan penggambaran Covid-19 pula mengganas. Kami terpaksa sambung semula penggambaran pada awal 2021. Jadi, cabaran utama saya dalam mengarahkan filem ini tentunya pandemik berikutan kekangan merentas negeri.

“Kami juga terpaksa mengubah banyak plot menjadikan ia berbeza daripada novel terutama mengenai watak utamanya daripada Inspektor ditukar menjadi pengarah rancangan paranormal,” katanya.

Filem Banglo Seksyen 12 terbitan syarikat Prisma Pictures Sdn Bhd ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 25 Januari 2024. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button