
Kamal Adli Tidak Tahu Motif Zahirah Dedah Mesej
Pelakon Kamal Adli mengatakan sehingga ke hari ini dia tidak pasti apa motif Zahirah Macwilson mendedahkan kandungan mesej mereka di laman Instagram biarpun sebelum itu keempat-empat (Kamal, Emma Maembong, Zahirah dan Zul Ariffin) mereka sudah pun bertemu menyelesaikan persoalan berbangkit tersebut.
Menurut Kamal, dalam pertemuan itu dia sudah pun meminta maaf kepada Zul dan mengakui kesalahannya keluar menonton wayang dengan Zahirah bersama dua lagi temannya.
“Benda ini dah jadi merapu. Sebelum ini saya banyak diam. Tapi kali ini saya nak jelaskan semua dan tidak lagi ingin membuka cerita mengenai isu ini lagi.
“Saya dah minta maaf pada Emma. Orang luar jangan marahkan dia. Dia adalah teman wanita saya dan dia ada hak untuk rasa apa yang dia rasa. Saya dah selesaikannya sebelum ini, tetapi yang saya kecewa adalah apa yang dibuat Zahirah.
“Hal ini sudah diselesaikan apabila kami dah jumpa berempat. Saya tak tahu kenapa dia nak perangkap saya (dengan mendedahkan mesej perbualan di Instagram). Saya tak pernah burukkan dan sentuh nama dia (Zahirah), namun apabila dia buat macam tu, saya tak tahu kenapa,” katanya ketika ditemui sejurus dinobatkan juara Super Spontan Superstar 2017 di Panggung Percubaan UPM, Serdang, malam tadi.
Hasil kemenangan, Kamal menerima wang tunai RM100,000 beserta trofi.
Menurut aktor ini lagi, kontroversi tersebut sedikit sebanyak mengganggu prestasinya dalam persembahan akhir, tetapi dengan kehadiran Emma malam tadi, ia memberikan tanda positif dalam perhubungan mereka.
“Memang saya down teruk. Semalam (kelmarin) paling teruk dengan motosikal (berkuasa tinggi) saya hilang. Tapi tak mengapa, ada benda hilang tapi ada benda baik nak jadi (kemenangan Super Spontan Superstar). Sedikit sebanyak ia merawat kedukaan yang dilalui minggu ini, walaupun saya tak sangka langsung untuk menang,” katanya lagi.
Ketika ditanya mengenai apa status hubungannya dengan Emma pada ketika ini, Kamal berkata dia mengambil pendekatan memberi ruang bagi memperbaiki hubungan mereka.
“Saya tahu dia tengah marah, kami sedang berusaha memperbaiki keadaan. Kehadirannya pada malam ini sudah cukup buat saya gembira dan ia tanda positif,” jelasnya lagi.
Kontroversi melibatkan Kamal dan Zahirah mula tercetus selepas mereka didakwa keluar pergi karaoke dan menonton wayang bersama-sama.
Ia menjadi lebih parah apabila Zahirah memuat naik paparan skrin perbualannya dengan Kamal di laman Instagramnya beberapa jam sebelum dia terbang ke Bosnia bagi menjalani penggambaran drama di sana.
Kamal dan Emma sudah berpacaran selama beberapa tahun, manakala Zahirah dan Zul merupakan pasangan kekasih sejak aktor itu putus cinta dengan penerbit Tayangan Unggul, Gayatri Su Lin Pillai. – KopiPlanet.com