
“Kami Masih Dalam Proses Perbaiki Hubungan” – Syamsul Yusof
Menjawab spekulasi yang melanda rumah tangganya, pengarah dan pelakon Syamsul Yusof berkata dia dan isteri, Puteri Sarah Liyana kini dalam proses memperbaiki hubungan dengan meminta nasihat daripada individu yang lebih pakar.
Menurut Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Syamsul Mohd Yusof, 36, dia mengharapkan orang luar mendoakan yang baik-baik sahaja untuk rumah tangga mereka yang kini sedang diuji.
“Doakan yang terbaik yang terbaik buat kami. Memang sebelum ini Sarah ada pergi ke pejabat agama tapi bukan atas sebab kami mahu bercerai. Cuma tiada jalan lain, kami perlu mengambil nasihat dan kaunseling daripada mereka yang pakar.
“Kami masih dalam proses memperbaiki hubungan. Saya tidak boleh cakap lebih soal rumah tangga tapi apa yang boleh saya cakap, Sarah ialah seorang isteri yang baik dan cukup memahami saya,” katanya.
Dia berkata demikian sebaik ditemui selepas selesai membuat laporan polis di Balai Polis Taman Melawati, Kuala Lumpur terhadap satu akaun Instagram yang telah memberikan ancaman dan ugutan keselamatan terhadap dirinya dan keluarga, baru-baru ini.
Sementara itu, pengarah filem blokbuster Munafik ini tidak menolak punca permasalahan rumah tangga disebabkan kesibukannya dalam kerjaya sebagai seorang pelakon, pengarah dan penyanyi.
“Mungkin sebab saya terlalu obses dengan kerja saya. Jadi seperti penyakit.. saya jadi gila dengan kerja saya. Sepatutnya bila kerja dah siap, relax la.
“Nak kata duit… Alhamdulillah, rezeki ada. Tapi kenapa saya selalu nak bekerja.. saya pun tak tahu sebab saya kalau buat satu-satu kerja memang akan berikan sepenuh fokus.
“InsyaAllah apa yang berlaku ini tidak akan menjejaskan saya dan Sarah dalam urusan nak perbaiki hubungan kami. Sarah seorang yang sangat memahami dan apa yang terjadi, dia sentiasa beri sokongan,” ujar Syamsul lagi.
Hubungan pasangan ini dikatakan dilanda badai selepas Sarah dilihat hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah Gombak pada 18 September lalu. Kehadiran Sarah ke sana turut ditemani ibu mertuanya, Datin Fatimah Ismail.
Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata, Syaikhul Islam, 3, dan Sumayyah, setahun. – KopiPlanet.com