
Kay Khydir Jalin Kolaborasi Bersama Shiha Zikir Menerusi Lagu Ulang Berinspirasikan Pop Latin
Mungkin ada yang menyedari atau sudah mendengar lagu dendangan penyanyi Kay Khydir menampilkan Shiha Zikir yang berjudul Ulang.
Menariknya tentang lagu itu, ia diadun dengan elemen muzik berinspirasikan Pop Latin yang tidak terlalu berat, yakni sesuai dengan selera pendengar di Malaysia.
Karya tersebut digubah serta ditulis sepenuhnya oleh Firdaus Rahmat, Iqie Hugh dan John Jeeves.
“Sebenarnya sudah lama saya tertunggu-tunggu untuk menyanyikan lagu genre sebegini dalam kerjaya muzik saya. Saya memang suka muzik ala Pop Latin. Menambah lagi keistimewaan, saya diberi pula peluang untuk berduet dengan sahabat saya Shiha Zikir yang sangat saya kagumi.
“Memang seronok rasanya dapat bekerjasama dengan insan-insan hebat seperti Shiha, Firdaus, Iqie dan John. Hasil kerja mereka pun sudah kerap mara ke pentas berprestij Anugerah Juara Lagu,” kata Kay membuka bicara.
Dalam pada itu, Kay atau nama kelahirannya Nur Khaidir Muhid, 36, terharu kerana diberi peluang beraksi dalam video muzik Ulang yang diterbitkan oleh Shiha Zikir Empire (SZE).
Kata Kay, dia amat menyukai konsep dan kualiti video muzik hasil idea daripada Shiha sendiri bersama Arul Arifin Baharun itu.
“Proses menyiapkan video muzik lagu ini adalah kenangan indah yang tak dapat saya lupakan. Kerjasama dengan warga kerja SZE memang seperti sebuah keluarga. Seharian kami berada di set, tetapi rasa macam sekejap saja sebab semuanya bekerja dengan bersungguh dan yang paling penting, tak rasa stres.
“Saya sangat terharu melihat semangat dan hasil kerja semua pihak tidak kira yang di depan mahupun di belakang tabir.
“Selain itu, tak pernah terlintas di fikiran yang saya berpeluang beraksi dalam video muzik yang menelan belanja besar sebegini, hasilnya juga memang di luar jangkaan saya. Syukur Alhamdulillah, Ini adalah buah tangan daripada SZE yang sangat bermakna untuk saya,” katanya lagi.
Berkongsi tentang cabaran, Kay mendedahkan dia sebenarnya membuat persiapan yang agak lama untuk tampil dengan imej ideal dalam video muzik berkenaan.
“Sebenarnya, saya membuat persiapan berbulan-bulan untuk mendapatkan berat badan ideal untuk penggambaran. Penjagaan makanan saya ketika itu sangat ketat diikuti rutin senaman harian yang lebih ekstrem berbading biasa.
“Cabaran lain pula adalah faktor cuaca. Kami perlu manfaat masa sebaiknya untuk lakukan penggambaran di luar sebab ketika itu kerap hujan. Proses penggambaran bermula seawal jam 10 pagi dan siap pada jam 6 pagi keesokannya. Sebaik siap outdoor shooting, hujan pun turun. Nasib baik sempat dan semuanya berjalan lancar,” jelasnya.
Setelah mencurah usaha sebaik mungkin, Kay berharap agar lagu Ulang mendapat tempat istimewa di hati peminat.
“Semoga ada sinar kejayaan untuk lagu ini, seperti tajuknya Ulang, harapnya lagu ini boleh terus diputar berulang kali dan disukai pendengar muzik tanah air serta mereka di negara-negara jiran,” ujar Kay lagi.
Sementara itu, Shiha pula menganggap kerjasama dengan Kay untuk lagu Ulang berjalan dengan lancar.
“Kerjasama dengan Kay sangatlah mudah sebab kami pun sudah lama kenal dan berkawan baik. Apabila urusan kerja senang, saya pun rasa teruja dan syukur Alhamdulillah, proses rakaman vokal dan video muzik berjalan lancar seperti yang dirancang,” katanya.
Bercakap tentang wataknya yang elegan dan berani dalam video muzik Ulang, Shiha akui seronok melakukannya.
Namun apabila ditanya sama ada itu adalah watak idaman dalam bidang lakonan, Shiha ada jawapan tersendiri.
“Watak ala Bond Girl itu adalah hasil idea daripada Arul, saya suka tetapi hanya untuk video muzik itu saja.
“Kalau untuk lakonan, saya sebenarnya teringin cuba watak air mata yang boleh meninggalkan impak kepada penonton. Saya mahu lakonkan watak yang boleh buat orang menangis pula, harap ada rezeki suatu hari nanti,” katanya lagi.