![](https://www.kopiplanet.com/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-14-at-11.04.35-AM-780x470.jpeg)
Kay’s Steak & Lobster Kini Buka Cawangan Keempat Di Shah Alam, Tawar Hidangan Premium Harga Mampu Milik
Kay’s Steak & Lobster yang lebih sedekad mengukuhkan kedudukan sebagai restoran ‘semi fine dining’ yang menyajikan aneka stik dan udang kara premium kini melebarkan sayap menerusi pembukaan cawangan keempat di Elmina Temu, Shah Alam.
Kedudukan strategik ditambah permintaan pelanggan menjadikan lokasi berkenaan sebagai pilihan terbaik terutama buat pemburu hidangan enak di pinggir Lembah Kelang.
Pengarah Urusan Kays Steak & Lobster, Muhammad Aizuddin Mohd Khalid berkata cawangan Elmina melengkap lagi sasaran lokasi di Lembah Klang yang memenuhi permintaan di bahagian utara kawasan ini seperti mana tiga cawangan sebelumnya.
“Putra Height iaitu premis pertama yang juga Central Kitchen kami adalah untuk bahagian barat Lembah Klang, manakala outlet di Conezion Putrajaya bagi penuhi permintaan di kawasan barat serta Ampang untuk kejiranan bahagian tengah
“Outlet baharu di Elmina yang boleh memuatkan 50 pelanggan dalam satu masa merupakan cawangan terkini apabila beroperasi sejak Julai tahun lalu. Melihatkan sambutan, nyata pemilihan lokasi ini sangat bertepatan.
“Kami percaya, selain hidangan yang enak sekali gus menjadi tanda dagang Kay’s Steak & Lobster serta layanan enam bintang, pelanggan juga inginkan kemudahan tambahan terutama pakir kereta yang banyak. Jadi inilah tempatnya,” katanya.
Aizuddin berkata demikian ketika majlis perasmian Restoren Kay’s Steak & Lobster Elmina yang menyaksikan kehadiran lebih 100 jemputan termasuk wakil media, pempengaruh serta rakan niaga.
Menurutnya, hebahan mulut ke mulut daripada pelanggan yang pernah merasai kelazatan hidangan istimewa terutama Beef Wellington di restoran terbabit antara penggalak orang ramai meminta mereka beroperasi di situ.
“Kami tiada formula khas untuk kekal bertahan, sebaliknya bertuah kerana disokong ramai pelanggan setia serta penggemar baharu yang kembali semula menikmati makanan kami sama ada bersama keluarga mahupun rakan.
“Istimewanya, selain menu utama seperti udang kara hidup diterbangkan dari Maine, Boston dan Kanada selain stik dan aneka pasta, Beef Wellington yang juga signature Kays Steak & Lobster merupakan pilihan ramai. Hidangan ini mendapat sijil halal sah Jakim.
“Daging stik juga diimport dari ladang terbaik di Australia iaitu daging jenis premium dari pembekal Stanbroke yang terbukti tinggi kualitinya serta sangat juicy serta tidak dibekukan dan paling penting dijamin halal,” ujarnya.
Hidangan premium stik di Kay’s Steak & Lobster masih dikira mampu milik dengan harga bermula RM130 untuk stik ribeye, manakala bagi hidangan lobster pula dianggarkan sekitar RM300 bergantung kepada berat lobster andai sekitar 800 gram.
Kay’s Steak & Lobster adalah lokasi makan seisi keluarga termasuk mereka yang mempunyai anak kecil dan seringkali menjadi medan perhimpunan pelanggan meraikan detik gembira seperti hari ulang tahun kelahiran atau perkahwinan.
![](https://www.kopiplanet.com/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-14-at-11.01.20-AM-1024x797.jpeg)
“Dekorasi dalam setiap premis turut menjadi keutamaan kami bahkan cawangan Elmina dilengkapi ruang privasi buat mereka yang ingin menikmati hidangan dalam suasana private atau meraikan hari istimewa,” tambahnya.
Menjelang Ramadan, Aizuddin dan pasukannya bakal menyajikan hidangan tambahan istimewa iaitu nasi lemak lobster berempah Dan Nasi Lemak Rendang Short Rib berempah selain menyajikan menu sedia ada.
Sementara itu, katanya Kay’s Steak & Lobster turut dalam perancangan membuka satu lagi cawangan baharu di KLGCC Kuala Lumpur pada Ogos ini dengan konsep berbeza.
Seterusnya adalah mengintai untuk memasuki pasaran Johor Bahru dan Pulau Pinang pada suku tahun pertama 2026.
Bagi anda yang berminat untuk mengetahui menu hidangan atau membuat tempahan sila ikuti maklumat lanjut di kaysteaklobter.com.