
Kecuaian Produksi Buat Kaki Farid Kamil ‘Melecur’
Pelakon Farid Kamil mendedahkan kakinya mengalami kecederaan gara-gara kecuaian pihak produksi sebuah drama yang dibintanginya tidak mengambil berat akan sumber air yang dikhuatiri tercemar semasa menjayakan salah satu babak pada minggu lalu.
Menurut aktor itu, kakinya mula gatal-gatal selepas melakukan babak hujan yang menggunakan air daripada sumber yang tidak diketahuinya. Yang lebih membuatkan Farid bengang, ketika ditanya kepada krew produksi mengenai sumber air itu, mereka tidak memberikan jawapan yang jelas di atas pertanyaannya itu.
“Baru-baru ini saya mengalami kecederaan yan tidak dijangka yang mana ia sedikit sebanyak membuatkan saya give up untuk berada dalam lokasi pengambaran.
“Saya tak boleh tidur menahan kesakitan, ia seperti gigitan serangga, kaki seolah-olah ‘terbakar’ dan ‘melecur’ kesan daripada punca air yang dikhuatiri kotor.
“Hal ini jadi disebabkan kelalaian (produksi) dari segi keselamatan dan kebajikan terhadap pelakon mereka. Kelalaian mengambil tahu cara-cara yang selamat untuk membuat scene-scene tertentu.
“Saya shooting Tombirou dalam hutan selama 69 hari, Alhamdulillah tiada apa-apa kecederaan dan luka. Tapi yang ini, saya jadi sangat kecewa dengan pihak produksi…,” luah Farid dalam nada kesal terhadap cara kerja produksi terbabit.
Farid ditemui KopiPlanet.com pada majlis pelancaran Dewan Perniagaan Artis dan Selebriti Malaysia (DPA) di Hotel Royal Chulan, Damansara, hari ini.
Selain Farid, DPA yang dipengerusikan isterinya, Diana Danielle turut melibatkan tujuh lagi selebriti lain seperti Bront Palarea, Hazama, Hafiz Suip, Akim Ahmad, Stacy, Wan Hanafi Su dan Sofi Jikan selaku ahli badan bukan kerajaan (NGO) yang bertujuan memantapkan skil perniagaan para artis di luar sana.
Walaupun ‘berang’ dengan hal yang berlaku terhadap dirinya, namun Farid masih akan meneruskan babaknya memandangkan terikat dengan kontrak bersama produksi tersebut.
“Doktor beri MC selama 10 hari dan saya plan kembali pada set untuk saya habiskan penggambaran melibatkan babak yang saya jayakan,” katanya lagi.
Bapa kepada dua cahaya mata ini juga berkata, dia kini masih lagi dalam peringkat perbincangan sama ada ingin membawa perkara ini ke muka pengadilan memandangkan Farid hanya ingin memberi pengajaran kepada pihak produksi agar jangan sesekali mengambil remeh tentang nyawa seseorang.
“Mereka tak ambil berat nyawa orang. Saya cuma nak bela benda yang jadi kat saya, siapa nak bertanggungjawab kalau apa-apa jadi pada saya,” luah aktor itu lagi. – KopiPlanet.com