
Kehadiran Anak Penyebab Hafiz Suip Kini Kejar Ilmu Akhirat
Penyanyi Hafiz Suip mengakui kehadiran anak lelakinya, Mohamad Riyadh Zafri yang kini sudah memasuki usia tujuh bulan banyak menyedarkan dirinya tentang tanggungjawab sebagai seorang Muslim.
Menurut penyanyi berusia 28 tahun itu, dia kini sering mengikuti kelas-kelas agama dan takzirah bagi memperkukuhkan dirinya dengan ajaran Islam.
“Kehadiran anak memang banyak menyedarkan saya betapa pentingnya untuk mencari ilmu akhirat. Saya dulu terfikir kenapa kita boleh habiskan masa contohnya main game, tetapi tidak ada masa untuk ‘bertemu’ Allah (solat lima waktu).
“Sejak itu, saya mula dekatkan diri dan kebetulan ada seorang ustaz yang merupakan kenalan keluarga datang dan sering mengajar saya mengaji. Saya mula belajar balik ilmu-ilmu asas agama. Daripada saya buat benda yang tidak elok, lebih baik saya buat perkara-perkara macam ini,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Hafiz ditemui pada sesi memperkenalkan barisan mentor program realiti Mentor 7 di Sri Pentas Bandar Utama, Damansara hari ini. Dia dipilih menjadi tenaga pengajar di samping tiga selebriti lain iaitu Datuk Syafinaz Selamat, Siti Nordiana dan Aizat Amdan.
Bercakap mengenai pemilihan kriteria protege yang dicari, Hafiz berkata kalau boleh dia mahukan bakal protegenya memegang status masih belum berkahwin memandangkan dia mahu anak didiknya itu memberi sepenuh fokus terhadap program tersebut.
“Kalau boleh saya nak protege di kalangan mereka yang masih bujang sebab kita tahu orang dah berkeluarga agak sukar untuk memberikan komitmen.
“Tapi saya bukan tolak mentah-mentah kalau ada yang berbakat di antara mereka tapi sudah berkahwin, saya tetap terima cuma itulah seperti yang saya katakan kalau boleh saya nak cari yang bujang agar tidak timbul masalah di kemudian hari,” katanya. – KopiPlanet.com