Cerita ArtisHiburan

Kehadiran Helena Buat Hael Husaini Lebih Matang

Penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Jampi, Hael Husaini berkata kehadiran anak angkat perempuannya, Helena telah banyak mengubah kehidupannya secara menyeluruh.

Dia berkata keutamaannya kini sudah beralih arah ke Helena selain daripada karier seninya yang kini semakin meningkat naik.

“Alhamdulillah, anak saya banyak mengubah hidup saya jadi lebih matang dalam kehidupan. Saya jaga Helena sejak dia dilahirkan sampai dah enam bulan usia dia sekarang.

“Kalau saya ada kerja dekat-dekat, saya bawa sekali Helena cuma bila saya ada kerja luar keluarga saya akan tolong jagakan dia.

“Buat masa ini saya tiada perancangan nak ambil anak angkat lagi sebab sekarang keutamaan saya nak besarkan Helena terlebih dahulu selain fokus dengan kerjaya seni,” katanya ketika ditemui KopiPlanet.com pada majlis sidang media pengumuman 30 lagu Separuh Akhir Muzik-Muzik 32 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini.

Selain itu, ketika ditanya hubungannya dengan penyanyi Indah Ruhaila, Hael tidak menafikan Indah merupakan antara rakan artis yang paling rapat dengannya.

Hubungan rapat mereka berdua sebelum ini sering kali disalah erti peminat apabila ramai daripada mereka mengatakan Hael dan Indah kini sedang bercinta.

Namun begitu, Hael menafikan dakwaan itu dengan mengatakan hubungan mereka tidak lebih daripada sekadar kawan baik.

“Saya dengan Indah sekadar kawan rapat sahaja. Indah merupakan rakan artis yang paling rapat dengan saya dan saya doakan kebahagiaannya,” katanya yang pernah didakwa menjadi individu ketiga dikaitkan menjadi punca Indah putus tunang awal tahun ini.

Sementara itu ketika ditanya persediaannya bagi menghadapi saingan separuh akhir Muzik-Muzik, Hael berkata dia akan cuba untuk memperbaiki kelemahan dari segi nyanyian dan persembahan untuk memberikan yang terbaik buat semua penyokong setianya.

Menurutnya, dia tidak mempunyai sebarang tekanan biarpun lagu ciptaannya bersama Ezra Kong itu dikatakan mempunyai peluang cerah untuk mara ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu.

“Nak kata tekanan itu tak sangat sebab dalam setiap persembahan saya memang nak memberi yang terbaik. Saya percaya penyokong saya percaya pada rezeki, kalau ada rezeki adalah, kalau tidak dapat (ke peringkat akhir) itu tiada rezeki,” katanya yang kini sedang dalam proses pembikinan single terbaharunya. – KopiPlanet.com

Kredit foto:  Instagram Hael Husaini

 

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button