“Keisha Bukan Kasar, Dia Memang Suka ‘Berdrama'” – Nabila Huda
Kemesraan hubungan di antara anak Nabila Huda, Keisha Laila dengan bapa tirinya, Mohd. Izwan Johar sering kali mencuit hati peminat pelakon itu menerusi perkongsian video di laman Instagram Nabila.
Walau bagaimanapun, ada segelintir netizen yang menegur mereka tidak menyukai cara percakapan Keisha yang kedengaran sedikit kasar terhadap bapa tirinya yang dipanggil Abi.
Menjawab mengenai perkara itu, Nabila menjelaskan Keisha bukan bersikap kasar, tetapi anaknya itu merupakan seorang yang suka ‘berdrama’ dalam video-video yang dikongsikannya.
“Keisha bukanlah bercakap kasar dengan Abi dia. Sebaliknya, anak saya ini memang seorang yang suka ‘berdrama’. Kalau tidak rekod video, memang dia cakap dengan teratur dan sopan terhadap Abinya dan juga saya.
“Biasalah, saya memang suka mengusik dia sambil merakamkan video ketika dia sedang marah. Kalau kita marah memang kita akan bercakap dengan nada yang kedengaran seperti sedikit kasar kan,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Nabila ditemui pada majlis doa selamat dan pelancaran filem M4M4 yang berlangsung di Hotel Summit City Centre, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menerusi filem terbitan Da Motion Media itu, Nabila akan menjayakan watak sebagai seorang ibu yang ingin membalas dendam terhadap anaknya yang dirogol dan dibunuh dengan kejam.
Menurut Nabila, dia sudah lama mengidamkan skrip cerita yang berat seperti M4M4 lebih-lebih lagi dia perlu memainkan peranan sebagai seorang ibu yang begitu dekat di hatinya.
“Saya dah lama tunggu skrip filem berat seperti ini dan dapat pula watak ibu memang saya lagilah suka. Sebagai seorang ibu, saya memang ada nurani itu dan akan sebaik-baiknya menterjemahkan watak tersebut seperti mana yang dituntut pengarah,” katanya.
M4M4 yang diarahkan Eyra Rahman bakal memulakan penggambaran hujung bulan ini. Ia turut dibintangi Faizal Hussein, Kodi Rasheed, Ku Hariz, Niezam Zaidi, Bella Dowanna, Eyra Hazali dan Izzy Reef. – KopiPlanet.com