Keke Challenge: Pak Nil Pesan Jangan Terikut Perkara Tak Berfaedah
Sekarang memang tidak dinafikan Keke Challenge semakin menular dalam kalangan netizen di Malaysia sehinggakan bukan hanya instafamous sahaja yang terikut-ikut dengan budaya tersebut, malah ada beberapa selebriti tempatan juga turut membuat video yang sama bagi mengikuti trend semasa ini.
Berasa terpanggil untuk menegur, pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi atau lebih senang dipanggil Pak Nil berkata, sekalipun cabaran itu popular di ketika zaman beliau masih muda remaja, Pak Nil tidak akan sesekali mengikut trend tersebut.
“Kalau Pak Nil muda sekalipun, Pak Nil tidak terasa untuk buat perkara seperti itu. Emak dan ayah Pak Nil pernah berpesan: “Dari kau lahir, kami menjaga sehingga nyamuk gigit pun, kami tidak benarkan.
“Supaya apa? Supaya kau tidak cacat di tangan kami. Tetapi, bila kau besar, kau sendiri yang mencari kecacatan dengan memubat perkara yang tidak berfaedah,” tulisnya dalam satu posting di Instagram, baru-baru ini.
Menerusi posting itu, Pak Nil turut berkongsikan kompilasi video mereka yang gagal dan tercedera kerana mahu merekodkan video Keke Challenge tersebut.
Keke Challenge memerlukan penarinya melompat keluar dari kereta yang sedang bergerak dengan menari diiringi lagu In My Feelings nyanyian Drake.
Trend itu mula dipopularkan seorang pelawak Shinggy yang kemudian terus tular dalam masa yang singkat di seluruh dunia. Antara selebriti antarabangsa yang turut sama ‘demam’ Keke Challenge ialah Will Smith dan Ciara.
Selebriti tempatan turut tidak mahu ketinggalan apabila antara video yang mendapat perhatian ramai ialah tarian daripada Siti Sarah, Fasha Sandha, Hafidz Roshdi, Janna Nick, Khai Bahar, Azira Shafinaz, Faten Afeefa, Ika Nabella dan kumpulan Elite. – KopiPlanet.com
Kredit foto: Instagram Datuk Aznil Nawawi