Cerita ArtisHiburan

Kembali Momentum Lagu Balada, Faizal Tahir Muncul Dengan Nobody

Kredibiliti komposer dan penyanyi, Faizal Tahir dalam menghasilkan lagu tidak perlu disangkal lagi. Malah, figura yang sudah 15 tahun berada dalam arena muzik tempatan ini menjadi antara idola bagi kebanyakan generasi baru baik dalam bidang nyanyian dan penciptaan lagu.

Satu kelebihan Faizal, atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohd Tahir, 42, apabila setiap karya yang dihasilkan itu sarat dengan mesej berguna bukan saja untuk diri sendiri, tapi buat pendengar dan masyarakat umumnya.

Terbaharu, Faizal yang popular menerusi lagu Ragaman muncul menerusi single Nobody terbitan Faithful Music dengan kerjasama Universal Music Malaysia selaku pengedar.

Menurut Faizal, perkara penting yang ingin disampaikan dalam lagu Nobody ini adalah mesej buat diri sendiri dan orang sekeliling.

“Apa cuba nak disampaikan dalam lagu ini sebenarnya untuk diri saya sendiri terlebih dahulu, yang mana saya ini ‘nobody’ tanpa ‘somebody’ yang saya boleh beri dan curahkan kasih sayang. Selain mendedikasikan rasa cinta dalam diri saya kepadanya, menjaga dengan baik dengan jujur, ikhlas kerana Allah SWT. Sebab apabila buat macam itu barulah dapat hadiah teragung iaitu bersamanya di syurga nanti.

“Jadi, pada saya keunikan lagu ini adalah mesej yang ingin disampaikan. Kita boleh berikan pelbagai jenis muzik yang sedap didengar, tapi apa yang penting adalah mesej yang ingin disampaikan. Bagi saya, lagu ini adalah sebuah mesej lain daripada yang lain yang pernah saya sampaikan sebelum ini,” katanya.

> Baca: Filem Jebat Ubati Kerinduan Peminat-Peminat Drama Bersiri BKATC

Seperti kebanyakan karya lain juga, lagu ini sekali lagi menyaksikan Kerjasama Faizal bersama beberapa komposer iaitu Firdaus Rahmat, Mas Dewangga, Mage dan Mike Chan.

Menurut Faizal, dia selesa bekerja dalam pasukan kerana dapat berkongsi banyak idea sekali gus dapat melahirkan sebuah karya yang terbaik dan unik.

“Saya rasa tidak ada masalah bekerja dengan banyak kepala. Sebab sudah biasa. Macam ketika mula nak menjadi komposer saya sudah biasa kerja sendiri, seterusnya berdua dan bertiga.

“Tapi, saya sedar apabila bekerja dalam kumpulan atau pasukan kita lagi kuat, idea banyak dan berbeza terutama bekerja dengan orang mempunyai pengalaman lain. Macam saya sudah tua, jadi dapat berkongsi idea baru daripada orang baru dan anak muda,” ujarnya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button