
Kenapa Anak Sulung Liza Hanim Sekatnya Di WhatsApp Status?
Umum sedia maklum, penyanyi Liza Hanim sebelum ini mengambil keputusan mengundurkan diri daripada bidang nyanyian bagi memberi tumpuan untuk membesarkan anak-anaknya.
Kini, tiba masanya dia membuat kemunculan semula berikutan keadaan anak-anak yang sudah semakin membesar dan bagi mengubat kerinduannya terhadap bidang seni suara.
Menceritakan pengalamannya membesarkan empat orang cahaya mata yang semakin meningkat remaja, Liza berkata, dia ada melalui satu pengalaman lucu membabitkan anak sulungnya, Marsya Qistina, 15, yang pernah menyekatnya daripada melihat status WhatsApp anaknya itu.
“Anak sulung pernah sekat saya daripada melihat WhatsApp statusnya, itupun saya tahu daripada anak saudara yang menegur, pernah tak saya tengok WhatsApp status yang dikongsikan Marsya. Ketika itu, baru sedar yang saya dah disekat dari tengok WhatsApp status dia.
“Rupa-rupanya dia ada sebab kenapa sekat saya. Sebabnya, hanya kerana dia malu saya tengok video nyanyiannya yang dikongsikan melalui medium itu. Bila ingat balik memang kelakar, malu sampai tahap sanggup sekat mak sendiri,” kata Liza sambil tertawa mengingatkan gelagat anak daranya itu.
Liza tidak menafikan mungkin sikap pemalu anaknya itu diwarisi daripadanya yang pernah melakukan latihan vokal tanpa mahu diketahui oleh ibu bapanya pada suatu masa dahulu.
“Dahulu saya pun lebih suka berlatih menyanyi sendirian dengan membawakan beberapa genre lagu. Kalau dia selesa begitu, saya tiada bantahan.
“Apa pun dari segi mengikut jejak langkah, saya nampak Marsya dan adik ketiganya yang gemar menyanyi serta aktif menyertai pertandingan,” katanya lagi yang menambah tidak akan menghalang kedua-dua anaknya itu sekiranya mereka ingin mengikut jejak langkahnya.
Selepas bergelar naib juara program Gegar Vaganza musim keempat (GV4), Liza kini tampil dengan single terbaharu berjudul Mimpi. Single yang bergenre balada itu dihasilkan oleh Hafiz Hamidun manakala liriknya pula ditulis oleh Ahmad Fedtri Yahya.
“Ini merupakan hadiah buat peminat saya, tetapi mereka pula yang berterima kasih kepada saya sebab muncul dengan single baharu. Perkara ini benar-benar membuatkan saya terharu dan rasa dihargai oleh peminat. Harapnya lagu baharu ini dapat mengubati rindu peminat pada nyanyian saya,” kata Liza ketika ditemui pada majlis pelancaran single Mimpi di Soireelab, Putrajaya baru-baru ini. – KopiPlanet.com