Cerita ArtisHiburan

Kendalikan Program Bual Bicara ‘Bersama Tya’, Tya Arifin Berhasrat Ingin Tun Dr. Siti Hasmah Sebagai Tetamu Undangan

Setelah bergelar seorang pelakon, penyanyi dan usahawan, kini Tya Arifin melangkah setapak lagi apabila kini bergelar seorang pengacara.

Mengendalikan program ‘Bersama Tya’ yang disiarkan secara dalam talian, program berkenaan berkisarkan tentang perkongsian perkara positif yang mampu memberikan suntikan inspirasi.

“Dalam membiasakan norma baharu sekalipun berdepan kekangan tertentu di era pandemik ini, adalah lebih baik sekiranya saya memanfaatkan platform media sosial seperti Instagram dan YouTube.

“Sebenarnya semasa di Indonesia dahulu, saya pernah menjadi seorang penyampai radio. Namun begitu, saya tidak sempat untuk mencuba bidang pengacara,” katanya.

Bersiaran secara langsung setiap Isnin, Selasa dan Rabu pukul 10.00 malam di Instagram Live sejak 14 Jun lalu, Tya juga dalam masa sama membiasakan norma baharu bekerja dari rumah.

Malah dalam membiasakan norma baharu ini juga, segala kerja untuk mengendalikan program berkenaan juga dilakukan sendiri wanita kelahiran Palembang, Indonesia itu.

“Untuk program ini, saya banyak melakukan semua kerja sendirian. Awalnya pasukan kerja saya yang menguruskan set program, tetapan gajet, bahan grafik dan sebagainya. Lagipun saya sudah terbiasa buat ‘live’ di Instagram, jadi tidaklah berasa kekok.

“Selepas itu, semuanya saya uruskan sendiri, termasuklah kerja-kerja menata rias diri, menentukan pakaian yang mahu dipakai serta tetamu atau panel jemputan pun saya sendiri yang undang.

“Lagipun mudah kerana saya bersiaran di rumah. Anak pula pukul 9.00 malam sudah tidur. Jadi masa live saya tak diganggu mereka. Pembantu rumah hanya ‘standby’ tekan butang ‘live’ di telefon bimbit saja,” katanya.

Ujarnya, setakat ini sudah lebih 30 episod bersiaran yang kemudiannya turut dikongsi di pelbagai platform termasuk di ‘feed’ Instagram dan dimuat naik di saluran YouTube Tya Arifin.

Tidak hanya mengundang rakan artis dan personaliti di Malaysia, Tya memberitahu untuk programnyi itu dia turut mengundang selebriti dari Indonesia.

“Saya rasa pada masa pandemik ini masih ramai yang bergelut. Malah, terlalu banyak hal negatif di media sosial. Setidak tidaknya perkongsian inspirasi dan positif daripada tetamu jemputan boleh menyebarkan aura baik.

“Isu yang dikupas juga sangat dekat dengan kita, ada yang bersifat semasa dan terkini. Lagipun saya juga tak bataskan hanya tetamu jemputan di kalangan wanita saja. Nanti tetamu lelaki pun ada. Dulu perkongsian atau motivasi saya mungkin terbatas di kalangan usahawan.

“Tapi sekarang ini, sesiapa saja yang mengikuti saya di media sosial boleh mendapat benda sama. Malah saya juga ada kumpulan telegram Tya Arifin. Menerusi saluran itu banyak juga hal dikongsi. Boleh juga ke Instagram @bersamatya,” katanya

Dalam pada itu, Tya juga berharap suatu hari nanti dapat mengundang wanita berpengaruh termasuk Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sebagai tetamu jemputan.

“Jika dapat jemput Tun Dr Siti Hasmah menjadi tetamu pasti saya akan rasa bangga. Begitu juga dalam kalangan figura wanita yang menjadi kekuatan pemimpin di Indonesia. Malah, saya bercita cita mengundang tokoh pemimpin dan motivasi lain selepas ini,” katanya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button