Kerap Bekerjasama Terbit Lagu, Benzooloo & Jonathan Tse Tampil Dengan Single Bebas
Tidak dinafikan kredibiliti muzikal dalam diri dua penyanyi, Benzooloo dan Jonathan Tse tidak perlu disangkal semakin terbukti berada dalam kelas tersendiri.
Jika sebelum ini mereka kerap menjalin kerjasama dalam penerbitan lagu, kali ini mereka tampil bergabung menerusi lagu terbaru berjudul Bebas.
Bebas adalah lagu kedua kerjasama mereka selepas Aku Rela yang telah dihasilkan tidak lama dulu.
Hubungan rapat terjalin memberikan mereka kelebihan untuk berkongsi idea menghasilkan Bebas dengan sinergi luar biasa.
Sudah semestinya, keseluruhan aspek diperincikan pada tahap tertinggi untuk memastikan lagu ini memiliki pemberat yang kuat.
Apapun, judul Bebas itu sendiri sudah memberikan pengertian yang terlalu luas. Hakikatnya, perkataan bebas pastinya memiliki tafsiran berbeza buat sesiapa juga.
Dalam konteks lagu ini, Jonathan atau lebih mesra disapa Jon tampil dengan takrifan berbeza dengan fikiran Benzooloo.
“Bebas lebih kepada bebas melakukan apa saja dalam apa yang saya lakukan, tidak terkongkong dengan apa yang orang mahu. Paling penting, kita kena ikhlas dengan diri sendiri.
“Lagu ini bercerita pasal dalam mula melakukan sesuatu atau cari inspirasi, masa inilah kita kena bebas untuk berani keluar dari kotak selesa itu,” katanya.
Benzooloo pula berfikir dari sudut lebih spesifik di mana menurutnya kunci sebuah kebebasan adalah kegembiraan.
Ujarnya, ia bermakna bebas membabitkan perasaan yang terbit hasil daripada mencapai kebebasan dalam apa juga perkara atau situasi. Baginya, terlepas daripada situasi sekecil mana pun, kebebasan itu memuaskan.
“Perasaan bebas adalah satu pengalaman yang membawa kegembiraan kepada kita semua. Kita berasa gembira apabila bebas daripada sesuatu perkara. Contohnya bebas daripada hutang, bebas daripada ketagihan, dan juga macam-macam lagi. Bagi saya pula, saya ingin bebas dari gangguan negatif bila menghasilkan sesebuah lagu.
“Kebebasan itu tidak lain untuk menjadi lebih kreatif dengan cara tersendiri khususnya dalam penulisan lagu. Tapi mungkin ada juga orang di luar sana yang ingin bebas daripada bos yang garang ataupun ingin bebas daripada isteri disebabkan disuruh pergi beli ikan di pasar. Kesimpulannya, bebas itu tidak mengenal situasi berat atau remeh,” katanya.
Mengulas proses penghasilannya, ternyata Benzooloo dan Jon mudah untuk mencapai kata sepakat memandangkan keduanya sudah saling memahami. Menurut Benzooloo, dalam fikiran mereka hanyalah tampil dengan kualiti yang tertinggi sahaja untuk Bebas. Justeru, penelitian bait lirik paling diberi penekanan, penting.
“Tempoh untuk siapkan lirik Bebas memakan masa dalam seminggu kerana pada masa sama ada tulis lagu-lagu lain juga. Tambahan pula, selepas siap tulis lagu ini, kami kena ambil masa lebih kurang dalam sehari untuk meneliti semula lirik yang sudah siap ditulis. Mana lirik yang tidak masuk akal, kami buang dan gantikan dengan lirik baru,” katanya.
Bukan sekadar mencurahkan keringat untuk lagu semata-mata, duo ini turut berhabis memerah keringat untuk muzik videonya. Semestinya, Benzooloo dan Jon mahukan muzik video itu melengkapi tahap kualiti Bebas dan jelas hasilnya tidak mengecewakan. Mendapat sentuhan pengarah Al Hanafi daripada Hantu Studios, nilai artistik hasilnya cukup mengagumkan.
“Memang kami yang bagi idea iaitu konsep dalam penjara sebelum mereka terjemahkannya kepada penceritaan sendiri menerusi visual itu. Ia mengambil masa selama tiga hari untuk disiapkan di dua lokasi berbeza. Kami bahkan masuk ke hutan untuk bahagian babak Benzooloo. Itu antara pengalaman menarik!” ulas Jon.
Benzooloo dan Jon adalah dua figura awam cukup berpengaruh dalam lapangan muzik di Sabah. Mereka juga berjaya menakluk industri hiburan nasional menerusi pelbagai projek. Benzooloo pernah meledak menerusi lagu Terkemuka bersama Zizi Kirana dan Allahyarhamah Sandra Dianne, manakala Jon pernah bekerjasama dengan Datuk Siti Nurhaliza.
‘Bebas’ boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & YouTube Music. – KopiPlanet.com