
Keretakan Rumah Tangga: Noryn Aziz Tunggu Tarikh Sesi Sulh Kedua
Penyanyi Noryn Aziz menyatakan dia kini sedang menunggu tarikh sesi Sulh (kaunseling) kedua melibatkan isu rumah tangganya.
Rumah tangga Noryn atau nama sebenarnya, Norazmahwati Abd Aziz dengan ahli perniagaan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dikatakan mula retak sejak April lalu.
Enggan mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu, Noryn berkata dia reda dengan segala ketentuan yang bakal mendatang.
“Saya tak boleh bercerita banyak kerana masih dalam proses perbicaraan.
“Saya dah hadiri sesi majlis Sulh pertama pada April lau dan kini masih menanti tarikh sesi kedua. Kalau boleh, biarlah benda baik berlaku.
“Apa sahaja berlaku kepada rumah tangga kami, saya perlu teruskan kehidupan. Saya reda dengan ketentuan,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Menurut Noryn, dia mengambil pendekatan untuk sentiasa berfikiran positif dalam menjalani kehidupan sehariannya bersama anak, Raja Bariq Umar Shah, 4.
“Saya cuba jadi positif dan tidak mahu terlalu berfikir sehingga membuatkan saya kusut. Lagi pula, saya ada tanggungjawab sebagai ibu kepada anak saya.
“Saya tak mahu perkara negatif membayangi diri saya sehingga mengganggu kerja dan kehidupan seharian bersama anak,” katanya.
Sementara itu, mengenai perkembangan seni, Noryn bakal keluar dengan single duet bersama Hazama berjudul Percayakan Cinta.
Percayakan Cinta hasil ciptaan sepenuhnya oleh Ajai merupakan lagu OST bagi filem Misteri Kalla. Lagu tersebut akan dilancarkan selepas sambutan Aidilfitri ini. – KopiPlanet.com