Cerita ArtisHiburan

Kes Rotan Anak: Rayuan Bekas Suami Ziana Zain Ketepikan Sebutan & Hukuman Penjara Didengar Pada 15 September Ini

Rayuan bekas suami kepada Ziana Zain iaitu Armin Zaharin Ahmad Zambri berhubung mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lapan bulan kerana merotan tangan anak lelakinya akan didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 15 September ini.

Menerusi laporan Bernama, Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar memberitahu, rayuan tersebut akan didengar di hadapan Hakim Hasbullah Adam. 

“Mahkamah memerintahkan pihak pendakwaan selaku responden dan perayu (Armin Zaharin) memfailkan hujahan masing-masing pada atau sebelum tarikh pendengaran,” katanya.

Manakala Amir Farid Mohd Nawawi selaku peguam yang mewakili Armin Zaharin untuk kes berkenaan mengesahkan perkara tersebut.

Sebelum ini Armin memfailkan petisyen rayuan di Mahkamah Tinggi pada 4 Januari lalu terhadap sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret pada 28 September tahun lalu.

Majistret Sabreena Bakar @ Bahari menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan selepas mendapati Armin didapati bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam di bahagian tangan anak lelakinya, yang berumur sembilan tahun (ketika kejadian) menggunakan sebatang rotan di sebuah rumah di Denai Alam, Shah Alam, Selangor antara 8 malam dan 10.30 malam pada 24 Februari 2018.

Bapa kepada empat cahaya mata itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Namun begitu, Sabreena membenarkan pelaksanaan hukuman terhadap Armin ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai namun menaikkan jumlah jaminan daripada RM5,000 kepada RM8,000.

Sebelum ini, Armin Zaharin ditangkap pada 2 Mac 2018 selepas Ziana atau membuat laporan polis pada 27 Februari 2018.

Ziana dan Armin Zaharin, sah bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Julai 2018.

Pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 9 Mei 1998 dan dikurniakan tiga anak lelaki dan seorang perempuan, berumur lingkungan 11 hingga 20 tahun. – KopiPlanet.com

Kredit artikel: Bernama

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
2
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button