Kes Saman Fitnah DON Terhadap Linda Rafar Bermula, Berlangsung Selama Tiga Hari
Perbicaraan kes saman fitnah di antara pelakon selebriti Linda Rafar dan Delegation of Nurses (DON) bermula pada hari ini.
DON menamakan Azlinda Rafar, 44, sebagai defendan pertama dan sebuah syarikat penerbitan media cetak dan elektronik yang terletak di Kuala Lumpur, sebagai defendan kedua.
Linda disaman individu yang mendakwa beliau adalah Presiden DON, selaku plaintif pada Jun 2019.
Plaintif mendakwa kenyataan yang dikatakan dibuat oleh Linda, yang diterbitkan oleh defendan kedua pada 29 Mac 2019 melalui satu artikel, adalah fitnah.
Perbicaraan yang bermula pada pukul 9.00 pagi tadi akan berlangsung selama tiga hari di Mahkamah Sesyen.
Sebelum disaman, Linda telah menjawab surat tuntutan DON pada 15 Mei 2019, bertegas yang beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang didakwa plaintif dan seperti yang dilaporkan oleh defendan kedua.
Malah, Linda mendakwa beliau telah menjadi mangsa kempen fitnah yang dilakukan melalui pembulian siber bertujuan menyebarkan pembohongan dan untuk memusnahkan kerjayanya.
Peguambela Linda Rafar, Nurul Hafidzah Hassan dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors berkata, “Anak guam menafikan semua dakwaan dan sebenarnya beliau adalah mangsa fitnah termasuk pernah menerima ugutan bunuh oleh seorang warganet akibat daripada isu yang diviralkan.”
Sebelum ini, pada Mei 2019, saman fitnah seorang jururawat yang bekerja di Hospital Kuala Lumpur dan tiada kaitan dengan isu Hospital Shah Alam terhadap Linda, telah diselesaikan secara baik, menurut nasihat mahkamah. – KopiPlanet.com