Cerita ArtisHiburan

Khatijah Ibrahim Perluas Bisnes, Jual Sarapan Juadah Melayu Klasik

Penyanyi era 80-an, Datuk Khatijah Ibrahim, 58, kini memperluaskan perniagaannya dengan memperkenalkan jualan sarapan melayu klasik, KT Breakfast yang bakal memulakan operasinya pada hujung bulan ini.

Menurut Khatijah, lokasi kedai sarapannya itu terletak di lorong bersebelah dengan restorannya, Khatijah’s Kitchen di Seksyen 11, Petaling Jaya. Khatijah’s Kitchen sudah berada di lokasi berkenaan sejak 12 tahun lalu.

“Sekarang di kawasan sekitar Petaling Jaya susah nak dapatkan sarapan melayu klasik macam zaman dulu-dulu. Jadi saya buat inisiatif untuk buka kedai yang khas untuk jual menu sarapan seperti nasi lemak, mee rebus, mee siam dan sebagainya.

“Idea ini timbul bila saya terkenangkan zaman kanak-kanak ketika di Singapura, kami makan sarapan dengan suasana outdoor di lorong-lorong, jadi saya nak kembalikan semula kenangan seperti itu buat anak-anak zaman sekarang,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Khaty ditemui pada majlis sidang media Konsert Doa Buat Kekasih 30th Anniversary Tour bersama Datuk Ramli Sarip dan Datuk Khatijah Ibrahim di Loka Nu Sentral, Kuala Lumpur semalam.

Sementara itu, Khatijah turut menjelaskan restorannya di Shah Alam sudah lagi tidak beroperasi dan tidak berasa ralat dengan perkara itu sebaliknya Khatijah percaya peminatnya sanggup menjelajah sehingga ke PJ untuk merasai air tangan masakan melayu daripadanya.

“Saya tidak ralat dengan penutupan restoran di situ sebab kebanyakan peminat mana-mana yang datang dari Johor Bahru, Shah Alam ke pasti akan datang ke restoran di PJ. Sekarang semua pengurusan restoran anak saya, Hajar uruskan. Saya hanya fokus untuk masak lauk masakan kampung di situ,” ujarnya lagi.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai konsert bersama Ramli pada 6 Oktober ini bertempat di Istana Budaya, Khatijah berkata beliau perlu memastikan stamina dan persiapan mental dititikberatkan.

“Memang bukan suatu perkara yang mudah apabila kita mengadakan konsert kerana banyak perkara yang perlu diambil kira. Sekiranya merasa tertekan memikirkan tentang konsert, saya akan keluar jalan-jalan cari makan dengan kawan-kawan bagi melupakan seketika tentang persiapan konsert,” katanya.

Tiket konsert berharga RM400, RM350, RM250, RM200, RM150, RM100 sudah mula dijual melalui www.ilassotickets.com.

Selain konsert di KL, pasangan duet popular ini turut akan menghiburkan peminat di Esplanade Singapura pada 17 Oktober ini. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button