Cerita ArtisHiburan

Kisah Sedih Keisya Levronka Diungkapkan Dalam Single Tak Ingin Usai

Selepas hampir dua tahun tidak mengeluarkan karya baharu, penyanyi berbakat Indonesia, Keisya Levronka kini tampil dengan single baharu berjudul TAK INGIN USAI yang telah dilancarkan di bawah pengurusan Universal Music Indonesia pada 13 Mei 2022 yang lalu.

TAK INGIN USAI merupakan buah tangan keempat Keisya Levronka selepas mengeluarkan Jadi Kekasihku Saja pada Julai 2020, Tergesa (September 2020) dan Lagu Untuk Hari Ini (November 2020). 

Gadis jelita berusia 19 tahun ini antara salah seorang penyanyi muda yang aktif mengeluarkan karya baharu buat peminat setianya.  

Menurut Keisya Levronka, single TAK INGIN USAI bercerita mengenai hubungan percintaan yang memang tidak boleh dipaksa dan berpisah adalah jalan terbaik walaupun hal itu berat untuk dilakukan. 

“Pada pandangan saya, TAK INGIN USAI ini menceritakan hubungan yang terlerai akibat keputusan sebelah pihak. Perpisahan itu turut menyebabkan pasangannya itu gagal meneruskan kehidupan, berasa hancur, menangis, tapi berusaha menerima takdir dan reda.  Bagaimanapun individu itu tetap berharap agar suatu hari nanti bakal dipertemukan lagi,” ujar Keisya menceritakan mengenai makna single TAK INGIN USAI.

Menariknya mengenai single itu, Keisya berkerjasama dengan seorang penyanyi yang juga penulis lirik berbakat yang sedang meningkat naik, Mario G Klau manakala Tohpati bertindak sebagai komposer. 

Lagu bertemakan percintaan ini sangat menarik dengan tema pop balada yang meruntun jiwa pendengar selain bait-bait liriknya yang begitu sarat dengan mesej menyentuh hati dan pesanan. 

Bercerita mengenai proses rakaman lagu itu, Keisya berkata, dia tidak mengambil waktu yang lama untuk memilih lagu TAK INGIN USAI sebagai pertaruhan terbaharunya.

“Perjumpaan untuk memilih lagu ini sehingga sesi rakaman berlangsung dalam tempoh yang singkat.  Walaupun rakaman pernah tertunda dua bulan kerana faktor kesihatan saya, tapi selepas itu kami cuba selesaikan dengan segera

“Sejujurnya selepas saya dengar lagu ini, saya terus jatuh cinta, dan tak sangka Mario yang cipta lagu ini. Sejujurnya, kami belum pernah berjumpa sampai sekarang, saya ingin bertemu dengannya, saya pengemar dengan lagu-lagunya,” katanya. 

Melihat kemampuan vokal Keisya, maka tidak hairan mengapa lagu TAK INGIN USAI pantas mencipta fenomena dan mudah diterima ramai apabila karakter suara dan vokal unik yang dimiliki menjadi senjata utama dalam dunia nyanyian. 

Muzik Video 

Bukan hanya boleh didengari di kesemua platform digital, malah lagu TAK INGIN USAI juga sudah mempunyai muzik video yang dilancarkan di laman YouTube Keisya Levronka pada 24 Mei lalu. 

Mengakui teruja dengan hasil akhir muzik video terbabit, Keisya berkata, dia sangat tertarik dengan nilai estetik dan jalan cerita yang diketengahkan dalam muzik video itu. 

“Konsep videonya sangat bagus dan estetik. Sukar untuk saya gambarkan konsep muzik video ini yang mempunyai hubung kait dengan diri saya. 

“Proses penggambaran yang berlangsung seharian dari pagi sampai petang di pantai kota Banten, Indonesia memberi satu pengalaman yang cukup menyeronokkan. 

“Pelbagai cabaran perlu saya tempoh seperti mendaki ke tebing tinggi, berendam di pantai sambil lip sync, dan macam-macam lagi memori yang tak mungkin dilupakan. Kalian kena tengok muzik video ini,” katanya. 

Enggan syok sendiri dalam setiap karya yang diketengahkan, Keisya berharap single TAK INGIN USAI dapat mewakili perasaan dan menyelami isi hati pendengar. Selain itu, Keisya turut berharap lagu terbabit dapat mengembangkan sayap karier seninya dalam industri seni muzik. 

“Harapan saya, semoga apa yang saya sayang boleh anda semua sayangi bersama-sama. Moga lagu ini menjadi peneman untuk anda meluahkan perasaan sedih.  It’s okay not to be okay guys, jangan memaksa diri sendiri untuk tahan nangis, tahan diri untuk menjadi kuat di depan orang, anda semua tidak akan boleh melawan perasaan diri sendiri. Jadi, kalau sedih mesti dirasakan, sambil ditemankan TAK INGIN USAI ini,” katanya. 

Untuk rekod, muzik video dan lirik video TAK INGIN USAI sudah meraih 135 juta tontonan di YouTube sehingga 16 Ogos 2022.  Malah lagu terbabit turut mendapat perhatian ramai selebriti tempatan yang menyanyikan semula lagu itu mengikut rendasi masing-masing.

Antaranya ialah Nabila Razali, Dalia Farhana, Aina Abdul, Nuha Bahrin, Aziz Harun, Tabby DOLLA, Syasya DOLLA, Meer Nash, Wani Kayrie dan Athalia. 

Lebih membanggakan Keisya turut meraih Anugerah Emas daripada syarikat Universal Music Sdn. Bhd sebagai pengiktirafan pencapaian single TAK INGIN USAI di platform digital di Malaysia. 

Apakah reaksi anda?
+1
3
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button